Thursday, August 28, 2008

PPSMI: Belum muktamad



Oleh HAMDEN RAMLI

PUTRAJAYA 27 Ogos - Persidangan Meja Bulat Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hari ini gagal mencapai keputusan sama ada dasar tersebut perlu diteruskan atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, ini kerana sebahagian peserta mahu PPSMI diteruskan manakala sebahagian lagi mahu ia kembali kepada asal.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan beberapa lagi persidangan sebelum keputusan muktamad mengenainya diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada akhir Disember tahun ini.

''Kedudukan sekarang boleh dikatakan 50-50," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan persidangan itu di sini hari ini.

Seramai 106 peserta mewakili 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 30 individu, sembilan agensi kerajaan, empat pegawai tertinggi Kementerian Pelajaran, 17 pegawai serta pihak urus setia menyertai persidangan itu hari ini yang turut melibatkan pembentangan enam kertas kerja.

Alimuddin berkata, kumpulan yang mewakili NGO berkaitan ekonomi dan ibu bapa mahu supaya dasar berkenaan diteruskan dengan alasan ia mampu melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global.

Sebaliknya, peserta yang mewakili tokoh pendidik pula mahu pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu kerana berpendapat pelajar akan lebih mudah menguasai kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa ibunda.

''Terdapat juga pandangan yang berharap pindaan dibuat terhadap dasar ini supaya ia hanya dilaksanakan di sekolah menengah atau di tahap kedua sekolah rendah dengan alasan pengetahuan asas perlu diperkukuh di peringkat awal persekolahan," katanya.

Alimuddin berkata, bagi mendapatkan lebih banyak pandangan berhubung pelaksanaan PPSMI, kementerian akan menganjurkan persidangan sama Oktober ini membabitkan penyertaan guru dan pelajar.

Selepas itu, ujarnya, pertemuan juga akan diadakan bersama ahli-ahli Parlimen bagi mendapat pandangan mereka berhubung PPSMI.

Sementara itu, Alimuddin berkata, kejayaan PPSMI banyak bergantung kepada kesungguhan pengetua dan guru besar sekolah.

''Jika mereka sentiasa memberi penekanan bagi memastikan program ini dijalankan, ia akan dapat dilaksanakan dengan mudah ditambah dengan penguasaan guru dalam Bahasa Inggeris," katanya.
sumber :http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_11.htm

Sunday, August 24, 2008

'Usah berangan jadi selebriti'



Oleh Mohd Roji Abdullah

Generasi muda digesa kejar kecemerlangan dalam bidang akademik

BATU PAHAT: Generasi muda tidak harus leka dengan sentiasa memasang impian untuk menjadi selebriti terkenal sehingga mengabaikan pelajaran yang menjadi bekalan sebenar mereka untuk menghadapi cabaran masa depan.

Isteri Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris, berkata ketika ini, banyak program yang menawarkan peluang menjadi selebriti terkenal diadakan dan ia dikenal pasti menyebabkan ramai anak muda tidak berminat untuk meneruskan pelajaran.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan, termasuk prasarana pendidikan tinggi bertaraf dunia dan agak merugikan jika ia tidak dimanfaatkan sebaiknya untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik.

“Janganlah hanya memasang impian untuk menjadi selebriti terkenal, tetapi ingatlah kepentingan pendidikan kerana ia yang sebenarnya akan menjamin masa depan anda.

“Anak muda kita seharusnya menetapkan matlamat untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan seterusnya menjadi ahli profesional seperti jurutera atau doktor,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pendidikan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sempena Majlis Konvokesyen Ketujuh universiti itu, semalam.

Raja Zarith Sofiah, menerima Ijazah Kehormat itu daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, yang juga Canselor UTHM.

Anugerah itu disampaikan sebagai menghargai sumbangan Raja Zarith Sofiah dalam pembangunan pendidikan negara kerana sering mengadakan ceramah di institusi pengajian tinggi (IPT) selain turut menyumbang artikel khusus mengenai pembangunan pendidikan dalam beberapa akhbar, termasuk New Straits Times (NST).

Raja Zarith Sofiah, memperoleh Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Oxford pada 1983 dan kemudian berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana dari universiti sama pada 1986.

Sebelum itu, ketika berucap pada majlis konvokesyen itu, Raja Zarith Sofiah yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mengajak rakyat negara ini supaya meningkatkan perpaduan supaya kemerdekaan yang sedang dikecapi berkekalan.

sumber:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20080824063350/Article/index_html

Tuesday, August 5, 2008

Atasi 'diskriminasi' guru lulusan IPTA

SERDANG 29 Julai - Kerajaan akan berusaha mengatasi masalah 'diskriminasi' yang dialami guru lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dibebankan dengan pelbagai syarat ketat sebelum dibenarkan mengajar di sekolah.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara syarat itu ialah mesti lulus dengan purata gred kumulatif (CGPA) minimum 2.75 sebelum layak mengambil ujian dan ditemuduga untuk jawatan guru.

"Syarat ini yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran perlu dikaji semula memandangkan guru-guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak perlu mematuhinya sebaliknya terus di tempatkan di sekolah.

"Perkara ini seolah-olah menafikan pendidikan dan latihan yang diberikan pensyarah di IPTA dan mengurangkan minat graduan untuk menjadi guru," katanya dalam ucapan perasmian Program Sekolah Kluster-Universiti dan Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Tahun 2008 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Idris Haron.

IPG kini melatih guru untuk peringkat prasekolah dan sekolah rendah manakala IPTA memberikan fokus untuk melahirkan tenaga pengajar di sekolah menengah, kolej matrikulasi, kolej komuniti dan politeknik.

Mohamed Khaled yang berharap masalah itu diselesaikan menerusi seminar permuafakatan itu berkata, isu lain yang perlu diatasi ialah berkaitan sebilangan kecil pelajar perguruan di IPTA yang mendapat pembiayaan Kementerian Pelajaran berbanding pelajar di IPG yang semuanya diberikan pembiayaan.

"Kualiti pelajar yang memohon program perguruan juga perlu dilihat semula oleh kedua-dua kementerian kerana berlaku ketidakseragaman syarat asas kemasukan.

"Syarat kemasukan di IPG ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala ke IPTA pula Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau matrikulasi," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalannya, Dr. Wee Ka Siong berkata, sebanyak 60 sekolah kluster akan dijadikan sekolah angkat kepada IPTA menerusi Program Sekolah Kluster-Universiti.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan IPTA berperanan sebagai mentor kepada pihak sekolah yang akan dibenarkan menggunakan kemudahan di universiti bagi melakukan penyelidikan dan pengkomersialan ciptaan baru.

"Sekolah angkat ini akan berpeluang menggunakan perpustakaan dan juga terlibat dalam program akademik dan kemasyarakatan anjuran IPTA.

"Sekolah juga akan dapat menggunakan gimnasium, kolam renang dan mendapatkan nasihat pakar pemakanan dan pensyarah sukan yang berkelayakan tinggi di universiti," jelasnya.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm
 

© New Blogger Templates | Tech Blog