Wednesday, January 30, 2008

Profesionalisme guru terhakis?

IBU bapa kita pernah bercerita betapa guru zaman 60-an dan 70-an begitu dihormati dan disanjung masyarakat.Karisma dan profesion mereka bukan sekadar di sekolah malah diangkat sebagai pemimpin setempat di kalangan masyarakat.

Ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tidak pernah mempertikaikan hukuman dan didikan guru pada masa itu.
Cuma, ibu bapa berpesan, jika guru memukul atau merotan anak mereka, jangan sampai patah tangan atau patah riuk.

Bagaimanapun, lihat dilema guru hari ini. Kebanyakannya berpendidikan tinggi tetapi masyarakat kurang menghormati mereka.
Jika seorang pendidik memukul, merotan atau mendenda anak mereka, ibu bapa pasti bersemuka dengan guru terbabit dan menengking bagaimana boleh bertindak kasar.
Tidak cukup dengan itu, ada ibu bapa mengambil tindakan menyaman guru sehingga timbul konfl ik di antara ibu bapa dan guru.

Pelajar pula tidak takut dengan guru. Ada guru dipukul pelajar, kenderaan mereka dirosakkan atau tayar dipancitkan.

Justeru, di mana sanjungan dan penghormatan terhadap guru? Apakah guru kini sudah hilang taraf profesionalisme dan kebebasan mencorakkan hala tuju pendidikan kepada anak bangsa? Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Abdul Rashid Mohamed, mengakui senario masa kini memang berbeza berbanding zaman lampau tetapi menganggap kehadiran guru masih relevan dan dihormati.

Beliau berkata, perubahan dunia mengubah mentaliti dan pendirian ibu bapa terhadap pendidik kerana mereka mahukan yang terbaik untuk anak masing-masing.
“Melalui perubahan ini, ibu bapa yang dulunya memberi kepercayaan penuh kepada guru tanpa banyak soal kini sudah semakin bijak bertanya, memerhati dan menilai,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan ibu bapa terpelajar dan tahu hak masing-masing.
“Bagaimanapun, itu bukan faktor ibu bapa memandang rendah golongan dan kerjaya guru, cuma mereka mahukan yang terbaik.

“Saya kurang bersetuju jika dikatakan ibu bapa sekarang sudah tidak hormat guru,” katanya.
Ditanya sama ada guru masa kini tidak berkualiti sehingga mencabar rasa hormat ibu bapa, beliau berkata, itu tidak benar kerana penilaian bersifat subjektif dan hanya mereka yang ‘bermasalah’ memberi dan mencetuskan tanggapan itu.
Menurutnya, ibu bapa dan guru ibarat aur dengan tebing kerana kedua-duanya saling memerlukan.

“Saya tidak tahu bagaimana wujud tanggapan guru masa kini dikatakan tidak berkualiti, tiada produktiviti malah semakin berani mencabar ibu bapa.
“Keadaan ini sangat merugikan kerana bakal mengundang rasa tidak puas hati kedua-dua pihak hingga menjejaskan kepentingan pelajar.

“Persengketaan di antara guru dan ibu bapa boleh menjejaskan proses pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata, apabila wujud konfl ik, kedua-dua pihak perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengelak menjadi bertambah buruk.
“Jangan ambil tindakan menyalah atau menyelar mana-mana pihak tanpa perbincangan.
“Ibu bapa terlalu memberi tanggungjawab yang besar kepada guru dan apabila berlaku sesuatu, mereka terus menunding jari kepada golongan itu padahal ia patut dibawa berbincang.
“Ibu bapa perlu faham, guru mempunyai banyak tanggungjawab.

Jika diasak bertubi-tubi dengan permintaan ‘bukanbukan’ pasti ia meninggalkan tekanan dan hilang kesabaran.
“Keadaan berbeza dengan ibu bapa zaman dahulu. Mereka memberi kebebasan kepada guru mencorakkan pendidikan anak mereka. Mereka tidak campur tangan,” katanya.
Justeru, apakah kebebasan guru semakin terhakis? Dr Abdul Rashid berkata, pelaksanaan undang-undang tidak bermakna kebebasan guru tersekat.

“Yang penting bagaimana guru boleh memberi komitmen tinggi pada tanggungjawab.
Contohnya, jika ada pelajar tidak boleh bergiat aktif dalam kokurikulum, adakah perlu dipaksa atau guru ambil pendekatan sendiri mengatasinya.
“Guru perlu menggunakan ilmu bagi mengawal situasi dengan tenang, bersikap terbuka dan profesional.

“Ibu bapa jika tidak berpuas hati dengan guru perlu menggunakan saluran betul seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bukan menyerang membabi buta.
“Malangnya, ramai menganggap fungsi PIBG tidak penting sedangkan ia platform terbaik menemukan masyarakat dengan sekolah,” katanya.

Beliau berharap ibu bapa jangan lepas tangan dan mengharapkan guru menjaga semua keperluan serta kebajikan pelajar.
“Ibu bapa perlu memikul tanggungjawab lebih berat kerana mereka mendidik bukannya menternak anakanak,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Bestari/20080128112138/Article/indexv_html

Friday, January 25, 2008

Miskin bukan lagi alasan tak aktif unit beruniform

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Sekolah perlu pastikan semua pelajar utama kegiatan kokurikulum

PIHAK pengurusan sekolah dan guru penasihat harus memastikan penyertaan penuh pelajar dalam pasukan badan beruniform serta mengambil bahagian secara aktif setiap kegiatan dijalankan. Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir, berkata tidak wajar lagi berbangkit isu kurang mampu menyediakan keperluan pakaian seragam sebagai alasan untuk pelajar mengelakkan pembabitan dalam kegiatan itu.

Katanya, ini selaras peruntukan bantuan pakaian seragam (BPS) bagi pasukan badan beruniform di sekolah seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam Bajet 2008.

Mulai tahun ini, beliau berkata, kerajaan bersetuju memberi bantuan berkenaan kepada pelajar yang ibu bapa atau penjaganya berpendapatan RM1,000 sebulan dan kurang. “Justeru, diharapkan semua pelajar bukan saja akan menyertai tetapi bergiat aktif dalam pasukan badan beruniform yang menjadi salah satu kegiatan kokurikulum diwajibkan selain kelab/persatuan dan sukan/permainan.

“Menerusi aktiviti terbabit, pelajar diterapkan nilai positif seperti berdisiplin, bersemangat patriotik, kerjasama berpasukan dan integrasi kaum. “Selain itu, pihak ibu bapa turut diharap memberi sokongan serta galakan kepada anak supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang menimba pelbagai pendedahan dan pengalaman berguna menerusi kegiatan berkenaan.

“Manakala pihak pengurusan sekolah serta guru penasihat pula perlu memastikan pengisian program benar-benar menarik dan berfaedah dalam kegiatan pasukan badan beruniform masing-masing. “Antara satu komponen aktiviti harus diberi keutamaan ialah program khidmat masyarakat yang akan mempertingkat kesedaran pelajar terhadap kepentingan sikap prihatin dan saling membantu dalam kehidupan harian,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.

Berdasarkan surat pekeliling bertarikh 7 Januari lalu yang diedarkan ke semua Jabatan Pelajaran Negeri, pelajar layak menerima BPS tertakluk kepada syarat pendapatan ibu bapa atau penjaga RM1,000 sebulan dan kurang; pelajar berada di sekolah rendah (tahap dua) dan menengah (kelas peralihan hingga Tingkatan Lima).

Seterusnya, kadar bantuan untuk seorang pelajar tidak melebihi RM100 serta terhad kepada satu pasukan badan beruniform saja. Pelajar yang menerima BPS layak menerima penggantian pakaian seragam setiap dua tahun sekali tetapi bagi kes pakaian rosak dan terlalu sendat sebelum tempoh terbabit layak diberi pertimbangan gantian oleh pihak sekolah.

Laporan akhbar baru-baru ini memetik Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, sebagai berkata seramai 1.8 juta daripada 5.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan mendapat BPS pasukan badan beruniform membabitkan kos penyediaan bernilai RM188 juta bagi sesi persekolahan tahun ini.

Ketika ini, Zulkifly berkata, tujuh jenis aktiviti pasukan badan beruniform disediakan pada peringkat sekolah rendah meliputi Persatuan Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Pergerakan Puteri Islam Malaysia, Persatuan St John Ambulans Malaysia, Tunas Puteri, Tunas Kadet Remaja Sekolah dan Pancaragam.

Beliau berkata, pelajar sekolah menengah pula diperuntukkan 14 aktiviti pilihan, antaranya Kadet Pertahanan Awam, Kadet Polis, Kadet Trafik Sekolah, Persatuan Pengakap, Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (Udara), PBSM dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Selain itu, katanya, Kadet Correctional diperkenalkan secara rintis dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia ke beberapa sekolah menengah di negeri yang mempunyai penjara, sejak tahun lalu. Setakat ini, sebuah sekolah terpilih di setiap negeri berkenaan. “Perkembangan ini secara langsung mempelbagaikan lagi aktiviti pasukan badan beruniform di sekolah.

Menerusi kegiatan kokurikulum ini, guru penasihat perlu mengambil inisiatif mencungkil bakat pelajar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Pendidikan/20080125074230/Article/index_html

Sunday, January 13, 2008

'Universiti Asmara' dedah gejala seks penuntut IPT

Ibu bapa jauh di kampung membuatkan penuntut pelajar bebas bergaul hingga terjebak dalam gejala sosial PANTAI Dalam dan Kampung Kerinchi, antara penempatan yang menjadi tumpuan penduduk Melayu di Kuala Lumpur. Hasil pembangunan pesat, kedua-dua kawasan ini dipenuhi rumah pangsa dan kondominium yang sebahagian daripadanya disewa oleh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka tinggal menyewa beramai-ramai dan berkongsi kenderaan ke kuliah. Oleh kerana ibu bapa jauh di kampung, mereka bebas bergaul hingga ada yang terbabas kepada gejala sosial dan moral.

Masih ingat lagi insiden berasmara di tangga rumah pangsa? Di situlah kejadian ini berlaku. Malah, bukan kes itu saja, banyak lagi kes penuntut universiti berasmara di kawasan itu dilaporkan sebelum ini. Topik Universiti Asmara ini dibincangkan dalam Keluarga Di 9 (KD9) pada Rabu lalu bersama pengacara Benjy dan tetamu termasuk Pengetua Pusat Perlindungan Remaja, Kem Bina Insan (Kewaja), Yahaya Mohamed dan Ketua Biro Ikhtisas Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Nur Izura Udzir. Turut menjadi tamu ialah pemimpin pelajar, Mohd Zaid Mohd Idrus dari Universiti Kebangsaan Malaysia UKM). “Tak dapat tinggal di kolej atau asrama, mereka memilih untuk tinggal di Universiti Asmara!,” kata Benjy.

Kisah Zara (bukan nama sebenar) menyedarkan banyak pihak mengenai kelonggaran akhlak remaja walaupun mempunyai pencapaian akademik membanggakan. Zara berasal dari negeri pantai timur dan mengikuti pengajian kejuruteraan, tetapi disebabkan cinta yang berkobar-kobar, sanggup menyerahkan maruah diri kepada lelaki yang dicintainya. “Cinta kami dihalang oleh ibu bapa saya kerana mahu saya menghabiskan pengajian dahulu walaupun ibu bapa lelaki itu bersetuju saya berkahwin dengannya,” kata Zara kepada wartawan KD9, Sharifah Nur Syed Ali yang menemuinya di Rumah Kewaja. Zara kini hamil lapan bulan hasil perhubungan intimnya dengan teman lelaki yang kini tidak dapat dihubungi lagi.

Zara berkata, mereka bebas bergaul kerana dia belajar di IPT yang jauh dari kampung halaman. Apabila ibu bapanya mengetahui nasib anak mereka, Zara dihantar ke Kewaja untuk melahirkan bayi yang kemudian akan diserahkan kepada keluarga angkat. Di Kewaja, rumah perlindungan yang dikendalikan Yahaya dan isterinya, Ruzitah Baharum, Zara dan remaja lain yang hamil daripada perhubungan luar nikah dilatih menguruskan diri dan menjalani sesi kaunseling bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar serta meneruskan kehidupan selepas melahirkan anak.

Bagi Zara, pengajaran daripada episod pahit dalam hidupnya ini akan dijadikan pedoman pada masa depan. Sementara itu, seorang lagi remaja senasib, Intan (bukan nama sebenar) hamil selepas sebulan berkenalan dengan seorang lelaki ketika dia menuntut di sebuah politeknik di utara tanah air. “Sejak awal berkenalan lagi, dia memang banyak kali mencuba untuk melakukan hubungan seksual, tetapi saya tidak benarkan. Bagaimanapun, pada satu malam, saya tidak sedar dia memasukkan pil khayal ke dalam makanan saya. “Dalam keadaan separuh sedar, saya mendapati dia membawa saya ke rumahnya dan apabila saya sedar keesokan harinya, semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui di Kewaja. Yahaya berkata, sejak beroperasi pada 2003, lebih 100 penuntut wanita IPT yang hamil luar nikah datang mendapatkan perlindungan di Kewaja. “Kemunculan remaja hamil luar nikah di rumah Kewaja boleh dikatakan ‘bermusim’. Apabila ada perayaan, misalnya, tahun baru seperti baru-baru ini, beberapa bulan akan datang datanglah mereka ini,” katanya. Katanya, satu punca gejala ini ialah kejutan budaya penuntut yang datang dari luar bandar.

Daripada persekitaran terkongkong, mereka yang mendapat kebebasan secara tiba-tiba apabila memasuki IPT dan tinggal beramai-ramai di rumah sewa, mudah dipengaruhi fenomena cinta kampus. Apabila terlanjur, ramai yang memilih jalan mudah dengan menggugurkan anak secara haram atau membuang bayi.

Selain mendedahkan gejala ini, KD9 mengupas isu kekosongan jiwa remaja yang tiada pengisian positif ketika mereka menuntut di IPT. Ini berbeza dengan era 80-an yang mana ramai anak muda dipacu oleh perjuangan dan ideologi menerusi pertubuhan seperti Abim dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Satu masa dulu, lagu perjuangan seperti ‘Anak Kecil Main Api’ membakar semangat anak muda termasuk pemimpin pelajar di IPT untuk berjuang demi bangsa dan agama. “Anak muda kini seolah-olah tiada perjuangan, tiada haluan. Sebab itu ramai lebih suka merempit dan terbabit dengan gejala moral yang membimbangkan. Di manakah Abim dalam kemelut sosial ini?” kata Benjy ketika mengajukan soalan kepada Dr Nur Izura.

Dr. Nur Izura berkata, Abim masih giat menjalankan pelbagai program pembangunan ummah walaupun kian kurang mendapat pendedahan media. Katanya, jika diberi ruang yang lebih terutama di IPTA dan IPTS, Abim bersedia mengadakan kegiatan pengisian jiwa dan minda remaja.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dimensi/20080113124711/Article/index_html

Saturday, January 5, 2008

Guru cemerlang fokus tarbiah, membentuk insan berkualiti

Oleh Marzuki Wan Ramli
PERSEKOLAHAN sesi 2008 sudah bermula. Semua murid dan guru kembali ke sekolah. Guru akan meneruskan tanggungjawab dan amanah sebagai pendidik dan murabbi di bumbung ilmu, manakala murid seharusnya sudah bersedia untuk menggali seberapa banyak ilmu yang mungkin. Tugas guru bukan saja perlu pakar dalam profesion keguruan mengikut subjek pilihan, tetapi cemerlang sebagai pendidik dan pembimbing sesuai dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan guru bertaraf dunia dengan kegemilangan jati diri. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benarnya)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Jelas, Islam mengharapkan guru dan pendidik supaya terus melaksanakan tanggungjawab besar yang dipikul untuk membimbing generasi hari ini menguasai pelbagai disiplin ilmu memenuhi keperluan cabaran masa depan. Guru gemilang yang memberi pendidikan cemerlang akan sentiasa memandu pelajar meningkatkan pencapaian serta potensi mereka dengan memberi fokus kepada tarbiah, asuhan dan didikan untuk membentuk hati, jiwa, mental dan nurani dengan ciri insaniah untuk digelar insan berkualiti. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia." (Surah al-Rum, ayat 41)

Justeru, besarnya nilai dan makna pendidikan, maka peranan guru menjadi kian mencabar untuk melahirkan generasi insan cemerlang dalam ilmu keduniaan serta mantap dari aspek kerohanian sebagai bekalan akhirat. Jasa dan pengorbanan guru begitu besar kerana tanpa bimbingan serta didikan mereka, negara tidak mungkin dilengkapi generasi bijak pandai yang kepakaran mereka memberi manfaat kepada kemajuan bangsa serta negara.

Pun begitu, tugas mendidik bukan hak mutlak guru kerana tanggungjawab mengajar walaupun satu ayat terbeban pada bahu semua umat Islam kerana kepentingan menuntut ilmu daripada amalan membaca sudah dijelaskan Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menjadikan sekelian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang maha pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya (Surah al-Alaq, ayat 1-5)

Berdasarkan mafhum itu, dapat difahami pendidikan bermula daripada proses penerokaan ilmu disertai asas agama yang kukuh. Salah satunya memulakan proses pencarian ilmu dengan menyebut nama Allah SWT untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah fardu kepada semua orang Islam." (Riwayat Bukhori dan Muslim). Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka perlulah berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlulah dia berilmu. Dan sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu." (Hadis riwayat Muslim) Rasulullah SAW begitu menitikberatkan kepada setiap umatnya supaya meletakkan usaha untuk mencapai kebahagiaan diri masing-masing dengan mencari dan mempelajari pelbagai jenis ilmu serta kemahiran mengikut keperluan dan kecenderungan masing-masing.

Dalam konteks dunia pendidikan hari ini, pelbagai disiplin ilmu dipelajari oleh setiap individu perlu diselaraskan dengan pendidikan bestari sebagai persediaan melahirkan generasi umat berkualiti. Sebagai guru pula, selain membimbing mereka juga perlu menjadi pelajar yang sentiasa dahaga ilmu baru dan berlumba -lumba mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang pendidikan supaya dapat memberi pembaharuan dalam bidang pengajaran. Islam begitu menekankan proses pendidikan perlulah dilaksanakan sejak peringkat awal lagi. Ia kerana pada peringkat itu, pelajar masih mudah menerima didikan, asuhan dan kemahiran yang disampaikan. Di sinilah letaknya peranan besar ibu bapa dalam menentukan hala tuju masa depan anak mereka.

Mereka yang lambat bertindak dan tidak mampu mengikut arus kehidupan semasa, maka akan tertinggal dalam banyak lapangan hidup dan sudah pasti akan mendapat kerugian dalam kehidupan. Anggota masyarakat sentiasa menyanjungi usaha dan khidmat mulia guru serta pendidik, tanpa mengira kemahiran atau bidang kerana melalui guru, kesinambungan pendidikan hari ini dapat terus dilaksanakan dengan sebaiknya.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20080104230608/Article
 

© New Blogger Templates | Tech Blog