Monday, April 28, 2008

Pendidikan Islam mampu lahirkan generasi kukuh akidah

KLANG, 28 April (Hrkh) - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah melalui pendidikan Islam di peringkat awal akan mampu melahirkan generasi Islam yang kukuh akidahnya, benar ibadahnya dan sejahtera akhlaknya.

Baginda bertitah, oleh itu sistem pendidikan Islam di negeri ini perlu dipertahankan dan dipertingkatkan ke arah memenuhi hasrat negeri dan negara pada masa hadapan.

"Beta percaya al-Quran yang dibaca dan difahami serta dihayati, serta solat yang didirikan dengan penuh kefahaman akan melahirkan murid yang berjaya dan tabah dalam mengharungi cabaran global.

"Dengan memahami al-Quran dan solat, ianya akan menjadi benteng yang paling kukuh dalan mengharungi cabaran hidup," titah baginda yang dipetik Bernama pada majlis perasmian nama baru Sekolah Rendah Agama Integrasi Batu Belah Klang yang kini dikenali sebagai Sekolah Rendah Agama Integrasi Tengku Ampuan Fatimah di sini hari ini.

SRAI Tengku Ampuan Fatimah siap dibina pada 7 Jun 2004 dengan kos RM6.66 juta dan kini mempunya 56 guru dan 777 murid.

Sultan Sharafuddin mahu para guru menjaga identiti, integriti diri dan sentiasa menjadi model kepada pelajar selain sentiasa meningkatkan daya saing, kecekapan, inovasi, kreativiti dan produktiviti.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata ekoran permintaan yang tinggi bagi kemasukan ke Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), jabatan itu terpaksa menjalankan saringan atau peperiksaan bagi kemasukan ke Darjah Satu.

Sehubungan itu, JAIS merancang untuk menambah bilangan SRAI, khususnya di Lembah Klang, katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu. Kini terdapat 10 buah SRAI di Selangor.

SRAI ialah satu konsep pendidikan sekolah rendah yang seimbang dan bersepadu melalui penyelarasan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan kurikulum pendidikan Islam JAIS dengan matlamat melahirkan murid yang kukuh pegangan akidah, soleh, berakhlak dalam kehidupan, tinggi penguasaan bahasa, berbudaya dengan peradaban murni dan menguasai sains dan teknologi
sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=14154&Itemid=28

Tuesday, April 22, 2008

Anak penoreh getah graduan cemerlang


KEPALA BATAS 21 April - Berbekalkan kesedaran dia hanyalah anak penoreh getah yang miskin, Norsuliza Mohd. Yunus, membuktikan dia juga boleh berjaya dan menggenggam Anugerah Pelajar Cemerlang Politeknik Seberang Perai (PSP) hari ini.

Norsuliza, 22, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, adalah salah seorang daripada penerima anugerah berkenaan sempena Majlis Konvokesyen Kelapan PSP di Dewan Milennium, di sini.

Beliau yang kematian bapa ketika berumur sembilan tahun, menyifatkan kejayaan itu sebagai pembakar semangat kepadanya untuk berusaha lebih kuat bagi merealisasikan cita-cita menjadi seorang pensyarah.

"Saya sedang memohon untuk menyambung pelajaran dan berharap kejayaan ini akan membuka laluan kepada saya untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana seterusnya bergelar pensyarah," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Menyingkap perjalanan hidupnya, Norsuliza yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik berkata, sejak pemergian arwah ayah, tugas ketua keluarga dipikul oleh ibunya, Badariah Omar, 49, bekerja sebagai penoreh getah.

Anak kelahiran Bentong, Pahang itu berkata, kesusahan yang ditanggung ibunya banyak mengajar dirinya mengenal erti hidup dan dia mula memasang impian untuk mengubah nasib keluarganya suatu hari nanti.

"Dulu saya biasa bantu mak (menoreh getah) dan saya dapat rasa keperitan yang ditanggungnya, semangat dan ketabahannya menguatkan lagi azam untuk berjaya serta bantu keluarga suatu hari nanti," katanya.

Selain Norsuliza, turut menerima anugerah sama pada majlis tersebut ialah seorang lagi graduan Pengajian Perniagaan (Pengurusan), Imaan Hamzah, 22.

Friday, April 18, 2008

Saturday, April 12, 2008

Kementerian jamin atasi masalah guru

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memberi jaminan akan mengatasi semua masalah membabitkan profesion perguruan dalam masa terdekat supaya warga pendidik dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Jaminan itu diberikan Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ismail dalam pertemuan dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), kelmarin. Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Peng, berkata dalam pertemuan itu, kementerian juga setuju untuk mengambil kira pandangan warga pendidik dalam melaksanakan dasar pendidikan negara selepas ini.

“NUTP berpuashati dan gembira dengan hasil pertemuan yang diadakan dengan Timbalan Menteri Pelajaran yang baru. Kementerian sangat positif mendengar segala pemasalahan guru yang dibangkitkan.
“Kami juga menyerahkan memorandum masalah yang membelenggu profesion perguruan kepada Razali dan berharap ia dapat diselesaikan segera untuk manfaat semua. Ini kerana tugas guru amat berat dalam mendidik anak bangsa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Beliau mengulas kunjungan hormat yang dilakukan NUTP bersama perwakilannya dalam usaha menyelesaikan beberapa masalah utama yang menimbulkan ketidakpuasan hati golongan pendidik.

sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20080412001624/Article/index_html

Wednesday, April 2, 2008

Jadual baru PMR 2008

Oleh Abdul Razak Raaff

Tarikh ambil kira aspek pengurusan, bantahan pelbagai pihak

PUTRAJAYA: Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) semalam mengumumkan jadual baru peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 yang disatukan kepada 13 hingga 17 Oktober depan, berbanding tarikh asal 13,14,15 Oktober dan 4,5 November.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata keputusan jadual peperiksaan PMR itu diubah selepas mengambil kira kebimbangan, keprihatinan dan pandangan pelbagai pihak mengenai jadual waktu berperingkat peperiksaan yang dicadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia sebelum ini.

Katanya, jadual baru PMR yang dianjakkan kebelakang pada minggu ketiga Oktober berbanding 1 hingga 5 Oktober pada tahun lalu, diputuskan selepas kajian semula LPM bersama pegawai kanan peperiksaan dan penilaian negeri.

"Tarikh baru bagi peperiksaan PMR 2008 dibuat bagi menjaga keselamatan, kelancaran, urusan dan kebolehpercayaan pengendalian peperiksaan.

"Penyusunan semula tarikh peperiksaan tahun ini juga sudah mengambil kira aspek pengurusan dan profesional serta membabitkan banyak pihak terutama berkaitan percetakan, pengedaran, penyimpanan kertas soalan dan skrip jawapan, pemeriksaan, pemprosesan data, penentuan standard serta pengumuman keputusan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini, pelbagai pihak membantah tarikh asal peperiksaan PMR 2008 kerana jarak masa antara 13,14 dan 15 Oktober dengan 4 dan 5 November adalah terlalu panjang iaitu selama 19 hari dan ibu bapa bimbang ia boleh mengganggu fokus pelajar.

Alimuddin berkata, tarikh peperiksaan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun ini kekal seperti diumumkan sebelum ini.

Katanya, tarikh peperiksaan UPSR 2008 ialah dari 9 hingga 11 September depan; SPM 2008 dari 12 November hingga 6 Disember; dan STAM 2008 pada 20, 22 dan 28, 29 Oktober.

Tahun lalu, peperiksaan itu masing-masing diadakan dari 3 hingga 5 September (UPSR), dari 12 November hingga 6 Disember (SPM), dan pada 22,23,25,29 dan 30 Oktober (STAM).
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20080401233758/Article/

Kurikulum Pendidikan Negara perlu berorientasikan masa depan


KUALA LUMPUR 30 Mac – Kurikulum Pendidikan Negara perlu berorientasikan Kurikulum Masa Depan agar apa yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara mempunyai matlamat yang jelas bagi membentuk generasi masa depan yang lebih baik serta dapat mengelakkan pembaziran kos, tenaga dan sumber, kata seorang sarjana hari ini.


Prof. Saedah Siraj dari Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) berkata, adalah penting bagi penggubal kurikulum pendidikan mengenal pasti perkara besar yang kemungkinan akan berlaku pada masa depan terutamanya yang ada kaitannya dengan pendidikan manusia.


“Analisis serta pemerhatian masa depan secara saintifik perlu dilakukan terhadap arah aliran nasional dan global pada masa depan yang ada kaitannya dengan pendidikan manusia, sosio-ekonomi, politik, sumber manusia dan sumber tenaga, pertanian serta pertahanan,” katanya dalam buku bertajuk Kurikukum Masa Depan terbitan Universiti Malaya.


Beliau berkata dengan adanya data Kurikulum Masa Depan, ia akan dapat membantu sesebuah institusi atau negara membuat pelbagai persediaan termasuk kewangan, infrastruktur dan sumber manusia untuk mencapai matlamat masing-masing.

Prof. Saedah berkata, kajian Kurikulum Masa Depan boleh dijadikan pengimbang untuk menolak mana-mana dasar ataupun pelaksanaan kurikulum yang boleh merosakkan atau merugikan generasi masa depan dan negara.

Katanya, data daripada kajian itu juga dapat menyediakan satu kurikulum yang berupaya menangani keperluan mendadak dalam masyarakat kini dan masa depan di samping menjadikan generasi muda sekarang sebagai individu berpendidikan serta berpandangan luas untuk kehidupan yang lebih selesa.

Beliau berkata, apabila para perancang dan penggubal kurikulum mempunyai latar belakang Kurikulum Masa Depan, mereka akan dapat merancang konsep kurikulum yang berteraskan kepada budaya bangsa dan negara serta dapat diterima akal dan berakhlak.

“Ini kerana mereka bukan sahaja telah mengetahui dengan mendalam, malahan dapat menganalisis asas-asas falsafah negara, keperluan generasi muda masa kini dan juga penyelesaian permasalahan,” katanya.

Prof. Saedah berkata, dengan menggunakan pendekatan futuristik, termasuk mengenal pasti arah aliran semasa dan membuat jangkaan perubahan pada masa depan, maka para perancang dan penggubal kurikulum tidak akan menghadapi sebarang krisis untuk memilih dasar dan matlamat pendidikan untuk masa depan.

“Sebaliknya kepincangan pendidikan akan terlihat apabila dasar kurikulum tidak menjangkau jauh ke hadapan menerusi pendekatan futuristik,” tegas beliau.
Dalam buku setelah 200 muka surat itu, Saedah juga menyentuh disiplin pelajar pada masa depan yang menurutnya semakin mencabar ekoran perkembangan sains dan teknologi yang menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan hiburan yang melalaikan. – Bernama
 

© New Blogger Templates | Tech Blog