Thursday, July 31, 2008

Kecewa Sistem MEdSI

Pada penghujung bulan Jun, seluruh IPTA di negara ini telah menerima mahasiswa baru bagi kemasukan 2008/2009. Anak saya salah seorang yang terpilih memasuki sebuah IPTA di ibukota. Apa yang ingin saya luahkan di sini ialah wujudnya ujian MEdSI kepada anak saya sebelum menghabiskan program Asasi Pendidikan Islam selama 2 tahun di Pusat Asasi Nilam Puri. Natijahnya, anak saya dan seramai 47 orang pelajar gagal dalam ujian MEdSI tersebut.

Rentetan itu, 48 pelajar tersebut tidak dibenarkan memasuki Program Sarjana Muda Pendidikan Islam setelah 3 minggu memasuki kuliah dan diminta menukar ke kursus lain. Justeru anak saya mengalami murung dan hilang semangat untuk meneruskan pengajian akibat permasalahan ini. Persoalannya di sini, pertama; mengapa perlu diadakan Asasi Pendidikan Islam di Nilam Puri sedangkan pelajar tidak pasti memasuki Sarjana Muda Pendidikan Islam setelah tamat program asasi tersebut. Kedua; adalah lebih baik mengadakan ujian MEdSI tersebut sebelum kemasukan ke Asasi Pendidikan Islam. Ketiga; apabila berlaku masalah ini, anak saya akan mengalami masalah dari sudut pinjaman pendidikan kerana melibatkan pertukaran kursus

Sebagai ibu bapa tentu akan mempertahankan anak mereka untuk terus dalam bidang pendidikan. Sehubungan itu, saya ingin menyatakan di sini, terdapat ramai pelajar yang sedang mengikuti Asasi Pendidikan Islam di Nilam Puri sekarang belum tentu nasib mereka untuk memasuki Program Sarjana Muda Pendidikan Islam kerana mereka akan melepasi ujian MEdSI terlebih dahulu. Oleh yang demikian sudah tentu ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang mengikuti Asasi Pendidikan Islam sekarang akan risau nasib anak mereka nanti

Saya di peringkat ibu bapa mahu ujian MEdSI disemak semula bagi membolehkan anak kami terus di Sarjana Muda Pendidikan Islam kerana ini melibatkan maruah anak dan keluarga kami yang telah menerima tawaran Asasi Pendidikan Islam dan dijanjikan dengan memasuki Sarjana Muda Pendidikan Islam apabila tamat di peringkat asasi.

Ayah yang kecewa.

sumber : ruangan surat pembaca Berita Harian, 31 julai 2008

Monday, July 21, 2008

Bahasa ibunda bagi Sains, Matematik

Kementerian Pelajaran "sengaja melengah-lengahkan masa dan bersikap acuh tidak acuh" menukar kembali pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda daripada bahasa pengantar dalam Inggeris sekarang, kata sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO).

Sehubungan itu, 10 NGO tersebut yang semuanya dari Johor bercadang menghantar memorandum pada 4 Ogos depan mendesak kementerian menyegerakannya.

"Kementerian Pelajaran kelihatan seperti langsung tiada apa-apa jalan penyelesaian yang kukuh terhadap pelaksanaan dasar ini.

"Namun, ia tidaklah terlalu janggal kepada kita kerana umum mengetahui bahawa dasar ini (menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar-belajar dua subjek tersebut) merupakan satu keputusan yang dilakukan secara tergesa-gesa, bersifat politik dan tiada perancangan yang sistematik," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan yang bergelar 'Jawatankuasa Bertindak Mengembalikan Bahasa Ibunda dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (JKBI) berkata memorandum itu disertai soal selidik dalam kalangan pelajar dan guru dari sekolah rendah aliran Cina dan Tamil.

"JKBI setakat ini telah berjaya memperolehi sokongan daripada hampir 30 pertubuhan badan bukan kerajaan, persatuan agama, persatuan murid, parti politik dan sebagainya dan sokongan ini telah diterjemahkan oleh mereka dengan menandatangani memorandum yang kami sediakan," kata penyelarasnya Nyam Kee Han, yang juga penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Johor.

JKBI antaranya menuntut:

menghentikan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah dengan serta-merta,

mengembalikan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, dan

menghormati hak asasi rakyat untuk mendapat pendidikan di dalam bahasa ibunda masing-masing.
sumber :http://www.malaysiakini.com/news/86487

Friday, July 18, 2008

Respons Isu: Apakah dasar PPSMI akan diganti?

Oleh Zainor Said

APAKAH dasar pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada 2003 akan diganti? Itulah persoalan yang menjadi fokus perbincangan persidangan meja bulat yang diadakan di Kementerian Pelajaran, Rabu lalu.

Adakah kementerian akan mengambil langkah ‘U turn’ untuk kembali kepada penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek berkenaan seperti sebelum PPSMI dilaksanakan.

Jawapannya bergantung kepada maklum balas serta maklumat hasil daripada beberapa siri perbincangan meja bulat Kementerian Pelajaran, di samping mengambil kira pencapaian kumpulan pertama calon UPSR tahun ini yang terbabit dengan dasar PPSMI.

Bagaimanapun persidangan itu bukanlah bertujuan membuat sebarang ketetapan, sebaliknya kementerian mahu mengumpul sebanyak mungkin maklumat dan maklum balas berhubung impak ke atas prestasi pelajar secara menyeluruh.

Sebab itulah wakil pelbagai pihak diundang termasuk tokoh akademik, penyelidik, pengkaji dan pemikir untuk mendapatkan input serta pandangan berhubung isu berkenaan sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Kita sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan, sama ada meneruskan dasar PPSMI seperti dirancang atau kembali kepada penggunaan bahasa Melayu atau pun kekal dengan penggunaan dwibahasa seperti yang dilakukan sekarang.

Berdasarkan temu bual secara rambang dengan guru yang bertanggungjawab menentukan berjaya atau gagalnya dasar itu, mereka berpendapat kita harus kembali kepada penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek ini. Pada masa sama, mereka juga mahu kementerian memantapkan strategi untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris sejak di peringkat sekolah rendah kerana mereka sedar bahasa itu amat penting dikuasai jika pelajar mahu terus bersaing dalam bidang kritikal.

Pendapat mereka sejajar dengan pandangan ramai ahli akademik yang antaranya menjalankan kajian terperinci berhubung kesan dasar PPSMI membabitkan murid sekolah rendah. Mereka berpendapat dasar itu gagal mencapai matlamat, sama ada dalam menguatkan asas bagi memperoleh maklumat dan ilmu sains teknologi atau pun mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Perkembangan itu pasti diikuti dengan penuh minat oleh banyak pihak terutama ibu bapa dan pendidik. Bagi ibu bapa, isu itu amat penting kerana akan menentukan hala tuju pendidikan anak mereka pada masa depan, apatah lagi membabitkan subjek kritikal Sains dan Matematik.

Bagi kalangan pendidik pula, tanggungjawab yang dipikul kini menjadi begitu membebankan kerana pelbagai masalah termasuk keupayaan mereka sendiri dalam menguasai bahasa Inggeris. Sesetengahnya gagal melaksanakan dasar PPSMI sepenuhnya berikutan tahap penerimaan dan kefahaman murid begitu rendah apabila ia diajar dalam bahasa Inggeris.

Kajian juga mendapati sebahagian besar guru yang mengajar Matematik dan Sains terpaksa menggunakan campuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Hanya segelintir yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, mungkin tidak sampai 10 peratus, malahan masih terdapat sebilangan guru yang terus menggunakan bahasa Melayu.

Impak ke atas prestasi murid adalah kebimbangan utama yang harus diambil kira dalam membuat sebarang perubahan terhadap dasar PPSMI. Terdapat jurang yang semakin melebar antara pelajar bandar dan luar bandar sepanjang dasar itu dilaksanakan. Selain itu pencapaian pelajar Melayu juga lebih rendah berbanding pelajar bukan Melayu, khususnya Cina dan India.

Sebarang keputusan dasar baru, kerajaan tidak harus membelakangkan keupayaan pelajar luar bandar yang masih dibelenggu dengan pelbagai kekurangan terutama kemudahan prasarana, pendedahan serta persekitaran yang jauh lebih mundur berbanding di bandar, khususnya di sekolah kebangsaan (SK).

Semua ini mempengaruhi pencapaian murid dan jika berpanjangan, kita khuatir ia akan menjejaskan matlamat kerajaan untuk mencapai nisbah 60:40 pelajar yang mengikuti bidang sains dan sastera di institusi pengajian tinggi, terutama di kalangan pelajar Melayu.

sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Pendidikan/20080718081601/Article/index_html

Monday, July 14, 2008

Transformasi pendidikan bermula 2010

KUALA LUMPUR 12 Jun - Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi sistem pendidikan bermula 2010 bagi meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, transformasi tersebut akan melibatkan beberapa perubahan dari segi kurikulum dan sistem peperiksaan sekolah.

''Kami akan buat perubahan dari segi kandungan kurikulum supaya ia menjadi lebih menarik dan seronok serta tidak membebankan pelajar.

''Kita nak wujudkan konsep 'pelajar berlari ke sekolah dan berjalan pulang ke rumah' sebagai menunjukkan betapa mereka seronok dan teruja untuk menimba ilmu di sekolah,'' katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru peringkat daerah Hulu Langat di sini hari ini.

Alimuddin berkata, selain kurikulum, transformasi tersebut juga akan melibatkan perubahan kepada sistem penilaian supaya tidak hanya berasaskan peperiksaan.

Menurutnya, melalui sistem penilaian baru itu, prestasi para pelajar akan dinilai sejak mereka berada di tahun satu lagi.

''Ini bermakna ketika pelajar-pelajar itu menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), peperiksaan mereka melibatkan silibus yang kecil sahaja kerana mereka telah dinilai sejak awal lagi,'' jelasnya.

Beliau memberitahu, sistem yang bakal dilaksanakan itu akan menggunakan sistem pengumpulan mata seperti dilaksanakan di universiti.

Menurut Alimuddin lagi, tahun ini sebanyak 50 sekolah telah dipilih sebagai perintis bagi melaksanakan transformasi tersebut dan ia akan diteruskan kepada 500 buah lagi pada tahun hadapan serta ke seluruh negara menjelang 2010.

Beliau berharap, melalui mekanisme transformasi itu, lebih ramai pelajar yang bermutu, berilmu pengetahuan dan berdisiplin dapat dilahirkan menjelang tahun 2020.

''Pelajar-pelajar yang berada di peringkat sekolah sekarang ini akan berusia antara 20 hingga 30 tahun menjelang 2020 dan produktiviti mereka sangat diperlukan untuk memajukan negara,'' katanya.

sumber :http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm
 

© New Blogger Templates | Tech Blog