Tuesday, December 16, 2008

Transformasi sistem pendidikan bentuk generasi serba boleh

TRANSFORMASI sistem pendidikan yang bermula pada peringkat sekolah rendah dengan memberi penekanan kepada latihan amali menerusi pengenalan subjek baru mulai 2010, dijangka mampu membentuk generasi yang bukan saja berupaya menguasai akademik, malah mempunyai sahsiah diri cemerlang. Langkah Kementerian Pelajaran memperkenalkan kurikulum baru bagi menggantikan subjek yang selama ini berteraskan 'mengejar kejayaan akademik melalui peperiksaan' wajar disokong. Kita tidak boleh terus memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan akademik semata-mata, sedangkan pada usia berkenaan pelajar perlu dipupuk dengan kaedah pengembangan mental dan fizikal yang seimbang.

Tumpuan berlebihan untuk mengejar kejayaan akademik semata-mata, terutama ketika di sekolah rendah boleh mengundang padah dan kita tidak mahu melahirkan tenaga manusia berbentuk robot yang hanya melakukan sesuatu mengikut arahan diberikan. Pada usia kanak-kanak di bawah 12 tahun, kaedah pembelajaran dan pengajaran perlu lebih bercorak mudah, menyeronokkan dan berpengetahuan yang dapat memberi ruang dan peluang kepada pelajar membentuk keyakinan dan penguasaan diri. Tidak hairanlah, ilmu komunikasi dan subjek berteraskan kesenian, termasuk drama dan tarian yang dicadang bakal diperkenalkan pada 2010 dapat membentuk sahsiah murid, sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah.

Usaha kementerian memperkenalkan subjek baru yang bercorak praktikal seperti dibayangkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom akan membolehkan penilaian kebolehan pelajar dilakukan lebih menyeluruh dan adil serta tidak berdasarkan markah peperiksaan semata-mata. Malah, kaedah penilaian mengikut gred kumulatif atau sistem pengumpulan mata seperti yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi yang dicadangkan juga boleh membantu pelajar. Jika selama ini, penilaian dilakukan melalui Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diadakan selepas enam tahun belajar, kaedah penilaian menerusi gred kumulatif pula dilakukan sepanjang enam tahun bersekolah. Ini akan membolehkan guru menilai tahap kemajuan pelajar mereka setiap tahun dan bertindak segera membaiki dan mengatasi sebarang kekurangan yang ada di kalangan anak murid mereka. Dalam pada itu, ibu bapa juga dapat melihat perkembangan pelajaran dan diri anak mereka untuk tempoh enam tahun, tidak lagi melalui tindakan menghantar ke kelas tuisyen bagi peperiksaan UPSR.

Kita yakin jika transformasi sistem pendidikan dilakukan secara berhemah dan tertib dengan niat untuk melahirkan generasi yang bakal mengekalkan kecemerlangan kemajuan negara, ia akan berjaya. Semua pihak termasuk masyarakat perlu digandingkan bersama bagi memberi input supaya perubahan sistem yang bakal dilakukan nanti tidak dipertikaikan keupayaannya. Dalam pada itu, pendidik yang bakal melaksanakan transformasi sistem itu juga perlu bersedia mulai sekarang untuk berubah, terutama dari segi minda bagi memastikan sistem ini berjaya apabila dilaksanakan nanti.
sumber(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Rencana/20081215230152/Article/index_html)
 

© New Blogger Templates | Tech Blog