Monday, March 30, 2009

Ada orang fobia tudung



SOALAN:
PENGETUA tempat saya mengajar cukup baik dengan pelajar dan guru-guru sesi pagi dan sesi petang. Selalu adakan kelas petang, kelas tambahan, selalu mesyuarat menyebabkan sesetengah guru lenguh dibuatnya dan terlalu mengambil berat disiplin pelajar.

Dia mempunyai Master of Education dari Universiti Malaya. Masalahnya sehingga kini dia tidak memakai tudung. Di sekolah kami, boleh dikatakan semua pelajar Melayu pakai tudung, kecuali beberapa anak Orang Asli.

Ada ustaz dan ustazah datang memberi syarahan dan menyentuh tentang hukum-hukum menutup aurat di luar sembahyang. Malangnya dia tidak datang ke ceramah tersebut, sibuk di pejabat. Pernah saya lihat dia memakai tudung semasa menghadiri majlis kematian seorang pelajar di kampung berhampiran, paras rupanya kelihatan lebih ayu dan anggun, tetapi jambulnya tetap keluar.

Saya suka kepadanya kerana dia seorang pengetua yang dedikasi, tegas dan tidak pilih kasih ketika memberi markah prestasi guru untuk naik pangkat atau ketika memberi sokongan kepada guru-guru yang ingin cuti dan melanjutkan pelajaran.

n Nurul, Kajang.

JAWAPAN: Aurat seorang perempuan yang telah baligh di luar sembahyang dengan lelaki ajnabi, termasuk guru perempuan iaitu pengetua, yang dimaksudkan dalam perbicaraan ini dengan guru-guru lelaki, termasuk murid-muridnya ialah seluruh badan, kecuali muka dan tapak tangan. Kerana itu rambut adalah aurat yang wajib ditutup, biasanya dengan tudung.

Banyak faktor menyebabkan seseorang itu tidak bertudung. Faktor ini mungkin berbeza antara satu dengan lain, ataupun faktor itu saling kait mengait.

Sebab utama antaranya ialah kerana seseorang itu tidak dididik supaya bertudung, iaitu ketika keluar dari rumah. Tidak bertudung itu merupakan budaya hidupnya. Emaknya tidak bertudung, kakak adik beradik tidak bertudung, Dalam keadaan seperti ini, sekiranya seseorang itu cuba bertudung, ia akan menjadi janggal, terutamanya ketika mula hendak belajar bertudung.

Keadaan seperti ini berlaku berpunca kerana ibu bapa terutamanya tidak menyedari atau tidak mahu memahami bahawa bertudung itu adalah sesuatu yang disyariatkan. Wajib memakai tudung. Wajib bererti melakukan sesuatu dapat pahala dan berdosa apabila meninggalkannya. Setiap suatu yang diwajibkan, kalau sesuatu itu diharamkan, maka keburukan di sebalik amalan itu adalah banyak. Keburukan atau mudarat pada diri sendiri juga masyarakat.

Selain daripada pengaruh ibu bapa dan keluarga, suasana sekeliling tidak berupaya mendidik, atau membentuk individu berkenaan untuk bertudung. Ada di antara kawan-kawan yang bertudung, tetapi apa yang berlaku tidak melahirkan minat kepada individu berkenaan untuk bertudung.

Ada orang yang bertudung memahami bahawa amalan bertudung itu sesuatu yang disyariatkan, kerana ajaran agama yang dianuti. Sebaliknya, tidak kurang pula mereka yang bertudung semata-mata kerana orang lain bertudung, kawan-kawan ramai yang bertudung dan amalan yang dilakukan tidak ada kaitannya dengan pemahaman agama yang menyuruh setiap orang itu bertudung. Kerana itu bertudung hanya merupakan satu fesyen, trend terkini.

Di kalangan orang yang seperti inilah maka lahirnya manusia yang bertudung, tetapi duduk di bawah pokok, atau di tempat-tempat gelap bercengkerama dengan kekasihnya. Bertudung, tetapi ligat berjoget lelaki perempuan di kelab-kelab atau di majlis-majlis tertentu. Bertudung menjadi satu trend atau fesyen yang sama sekali tidak ada kaitan dengan ajaran agama.

Sesetengah ibu dan bapa memahami bertudung itu sopan dan salah satu perintah agama, tetapi si anak tetap tidak mahu memakai tudung, Tidak ada sebab yang jelas, tetapi memang tidak mahu bertudung. Di kelas, semua pelajar sebahagian besarnya bertudung. Hendak dikatakan tidak bertudung mukanya kelihatan cantik dan anggun tidak juga. Ketika tidak bertudung rambutnya naik menggerutu macam rambut gondrong, malah kalau ia bertudung, ia akan kelihatan lebih cantik. Berupaya menutup kelemahan rambut yang didedahkan, tetapi ia tetap tidak mahu bertudung.

Pelajar seperti ini ada kalanya tidak mahu sekolah, biarpun sekolah berkenaan berhampiran dengan rumah. Kedua-dua ibu bapanya bermati-matian mencari punca keengganannya ke sekolah. Banyak andaian ditemui, lalu akhirnya didapati anak berkenaan tidak mahu ke sekolah kerana ibu bapanya, terutamanya si ibu seumpama memaksanya memakai tudung ketika sekolah.

Ia suka ke sekolah apabila dipindahkan ke sekolah lain di mana sebahagian daripada pelajar Melayu Islam tidak bertudung dan akhirnya pelajar ini menjadi sebahagian daripada mereka.

Sukar untuk menganalisis fenomena seumpama ini. Hendak dikatakan cantik ketika tidak bertudung, tidak juga. Malah kalau ia bertudung, itu adalah lebih anggun. Hendak dikatakan tidak dididik dengan agama atau kedua ibu bapanya tidak menyuruhnya bertudung, lagi tidak kena. Teman-teman dalam kelas kesemuanya bertudung.

Allah masih belum memberinya hidayah agar bertudung, Yang jelas, sejak di sekolah rendah, pelajaran agama langsung tidak diminati,. Ketika keluar rumah ia memilih teman-teman sepertinya, pakai baju sesingkat boleh, seluar jeans seketat mungkin. Jiwanya memberontak kalau disuruh memakai baju kurung, baju-baju yang banyak disimpan oleh ibunya, yang sememangnya hendak diwariskan kepada anak perempuan tunggalnya.

Tidak ada sebab atau punca utama kenapa bertudung itu menjadi satu trend tingkah laku menyebabkan fobia atau budaya yang paling tidak disukai.

Hal yang sama berlaku kepada pengetua sekolah tempat saudari mengajar. Pastinya pengetua berkenaan faham dan menyedari bahawa menutup aurat, termasuk bertudung itu salah satu ajaran agama. Dia juga kelihatan lebih cantik dan anggun ketika bertudung, biarpun dengan mengeluarkan jambulnya.

Dalam masa yang sama, kesemua guru perempuan, kecuali bukan beragama Islam, yang lebih daripada 100 orang guru, yang baru lepasan kolej atau yang hampir pencen kesemuanya bertudung ketika di sekolah.

Mungkin Allah masih belum membuka hatinya atau memberinya hidayah untuk memakai tudung, menyebabkan jiwanya memberontak untuk bertudung. Apa yang berlaku di persekitaran tidak berupaya merangsang untuk bertudung.

Mesej yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah yang memberi ceramah di sekolah tidak kesampaian, kerana pengetua tidak minat hadir ke kuliah agama. Perilaku ketua atau bos yang tidak menghadiri kelas agama adalah perkara biasa, bukan sahaja berlaku di sekolah puan.

Terjadi demikian kerana bos yang berkenaan tidak merasakan bahawa kehadiran tersebut perlu. Yang selalu datang ke ceramah-ceramah seperti ini ialah penolong bos, rakyat marhaen dan seumpamanya, itupun sebahagian daripada mereka tidur tersandar di kerusi-kerusi berhawa dingin terutama ketika kuliah diadakan pada waktu tengah hari. Selalunya kelas-kelas seumpama ini dihadiri atau dipenuhi oleh kaum wanita. Alhamdulillah. Allah rahmati suami-suami yang mempunyai isteri seperti ini.

Apabila seorang ustazah itu bertudung menutup auratnya, maka orang yang tidak memahami Islam itu memikiri bahawa bertudung itu adalah tanda Islamnya seseorang. Begitu juga apabila bertudung itu dilakukan oleh seluruh atau sebahagian besar pelajar perempuan. Apabila seorang pengetua Melayu beragama Islam tidak bertudung, maka akan lahir dalam persepsi mereka yang pengetua ini tidak mematuhi ajaran Islam yang dianuti atau dirasai yang pengetua perempuan itu tetap Islam, tetapi lain daripada Islam yang dilakukan oleh mereka yang bertudung. Atau mungkin dianggap mereka yang tidak bertudung itu lebih moden berbanding dengan guru-guru perempuan yang bertudung, pada hal di kalangan guru perempuan yang bertudung juga mempunyai sarjana.

Kemungkinan besar pengetua yang tidak bertudung seperti yang dibicarakan dalam kes ini, atau pelajar perempuan yang masih tidak bertudung, pada hal guru-guru lain, juga pelajar lain bertudung itu kerana Allah masih belum buka hidayahnya untuk bertudung seperti yang disuruh oleh Islam. Insya-allah satu ketika nanti apabila Allah buka hidayah, mereka akan bertudung.

Apa cacatnya kalau guru yang enggan bertudung itu biarpun tidak merasakan bertudung itu salah satu ajaran agama. Menghormati orang lain, guru-guru lain di bawah seliaannya. Datang ke majlis-majlis agama itu tidak penting demi menghormati kegiatan kelab-kelab atau persatuan di sekolah. Pergi sekejap, lepas itu kalau hendak terlena, tidak ada orang marah pun. Tetapi bagi pengetua untuk tidur sukar sedikit kerana pengetua kena duduk di barisan depan.

Di Malaysia segala kemudahan lengkap, bebas mengamalkan ajaran agama, tetapi sayangnya masih ada malah ramai manusia menepikan perkara-perkara atau amalan yang berkaitan agama. Rasanya, negara yang miskin, sering mengalami banjir, kemarau, ribut taufan, peperangan sesama Islam atau golongan minoriti Islam tentunya sukar bagi mereka untuk mempelajari atau mengamalkan ajaran Islam, menyebabkan amalan Islam mereka begitu longgar. Gambaran ini dapat dibuktikan apabila mereka datang ke Malaysia, sama ada secara sah atau tidak sah.

sumber: utusan Malaysia

Tuesday, March 17, 2009

aku yang pernah bergelar guru


“Hah…Mama dah carikan kerja utk hang. Jadi cikgu kat sekolah kawan Mama. Mau?” kata mak aku semasa kami dalam kereta, pulang ke Kedah dari KMB setelah aku tamat belajar disitu sekitar 2004.

Aku memandang kosong ke luar tingkap kereta. Warna merah senja masih lagi di situ, belum pudar.

Cantik!
“Ma…malaih lah. Kalau boleh oghang nak gheja macam Tu’ai, jadi maintainer kat kelab bowling kat City Plaza tu. Best sket” aku menjawab malas sambil mataku menjeling kepada Tu’ai, adikku di sebelah. Fikirku, bolehlah kami keluar petang ke tempat kerja, dan balik awal pagi. Sambil-sambil tu bolehlah merewang ke tengah-tengah bandar Alor Setar sebelum balik ke rumah. Bila lagi?

“Hang jangan nak menggatai. Mama dah habaq dah kat Cikgu Cek Puteh. Esok lusa hang pi daftaq kat sekolah tu” mak aku membantah.

“Laa…ingatkan nak bagi option tadi. Rupa-rupanya arahan mandatori” cetus hati aku.

Merah senja di luar tingkap makin pudar. Lebuh raya PLUS nampak kosong. Seperti fikiran aku yang kosong.
“Apa aku nak buat kat sekolah tu nanti? Dah la kena mengajaq Bahasa Inggeris. Tingkatan 4 ngan 5 plak tu. Sastera lagi. Mampoih.” Hati aku terus merungut tak puas hati. Tapi apa boleh buat, arahan mandatori…

Habis takat tu…

Bermula episod diri aku diberi peluang mengenali sendiri apakah erti perjuangan memartabatkan anak bangsa dari kaca mata seorang guru, yang dikerah mendidik pelajar luar bandar. (kalau boleh aku katakan, sekolah yang aku pergi ini adalah sekolah yang lagi luar daripada ‘luar Bandar’. Maknanya sangat sangat terpencil).

Aku menjadi cikgu ganti, menggantikan seorang guru lain yang cuti bersalin. Dan sekali sekala aku masuk ke kelas-kelas tingkatan yang lain, menjenguk apa yang pelajar-pelajar di sana sedang buat sewaktu ketiadaan guru.

Biar aku ceritakan…

1. Biasalah, sesi perkenalan menjadi modal utama untuk cikgu baru macam aku untuk ‘skip’ hari pertama daripada kena mengajar. Ni yang berlaku di sebuah kelas tingkatan 5 Sains 1.
“ Ok class, My name is Haikal. Your new English teacher here, for 2 months bla..bla..bla” Now I would like to know each of you before I begin my lesson. Please state your name, ambition and where are u from. Ok. let us start from u”
“ err…sir. Saya tak pandai cakap Inglis. Bahasa Melayu buleh dak?”
Aku jawab “ Cuba, takpa salah pun. saya pun bukan pandai cakap omputih”
“ I is Syahrul (nama rekaan)”. Yang lain saya tak gheti sir”
“Ok takpa…teruskan. Saya tanya tadi cita-cita dan tinggai kat mana”

Dalam hati “mampoih, macam mana aku nak mengajaq dalam BI ni? Kalau kelas 5 sains 1 pun tak berapa gheti BI?”

2. Ada satu hari tu, aku kena masuk ke kelas tingkatan satu. Cikgu yang sepatutnya berada dalam kelas tu tak datang. Sekali lagi, sesi berkenalan, sebab aku memang tak disuruh mengajar pun.
“ Nama saya cikgu Haikal. Saya masuk mai ganti cikgu Sharifah. Saja nak berkenalan dengan kamu semua. Soghang-soghang bangun dan habaq nama dgn cita-cita. Hah kamu…mula”
“ Nama saya Rosdi. Cita-cita nak jadi..emm…perbaik gheta Sir. Pak saya ada kedai pomen gheta kat pekan”

“OK takpa, kamu” aku menuding pada seorang pelajar yang berdiri kat pintu, gaya macam nak lari keluar dari kelas.
“ Saya…nama Ku Nazim Sir. Cita-citaku nak jaga lemu pak ku” (memang disebut LEMU, bukan lembu). Jawab Nazim serius dalam loghat Kedah hulu yang pekat. Lembu pun kedengaran lemu. Saya diganti dengan Ku…bahasa diri kebiasaan bagi orang-orang kampung kat tempat aku.
“Sebab apa nak jaga lembu?”
“Ku tak tu dey. Pak ku banyak lemu. Dia pun dok sughuh ku jaga lemu dia”`
“ Oo…ya ka?” aku menyetujui kata-katanya

Dalam hati “ Bertuah betul orang bandar. Anak-anak semuanya bercita-cita tinggi. Nak jadi doktor. Saintis. Paling koman pun Polis. Tapi kat sini. Cukuplah kalau boleh warisi apa yang bapak depa ada. Mungkin depa ni masih naif…tapi kalau dibandingkan dengan anak Bandar yang sebaya, depa ni jauh naif. Seolah-olah tiada langsung cita-cita”

Dan memang benar, pelajar-pelajar di sini memang datang ke sekolah bukan kerana ingin belajar. Tetapi kerana ingin berjumpa kawan-kawan. Itu sahaja dorongan mereka utk terus berada di sekolah dari jam 730 hingga jam 2 petang. Dan peluang daripada kedatangan mereka ke sekolah itulah yang digunakan oleh guru-guru untuk menumpahkan ilmu yang sedikit buat bekalan anak bangsa ini.

Lalu…bagaimana ingin mempunyai cita-cita?

3. Aku diberi amanah untuk menanda kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dan English in Science and Technology (EST). Tingkatan 4 dan 5.

Untuk tingkatan 4…semua fail untuk 2 mata pelajaran yang aku tandakan tu.
Untuk tingkatan 5…ada seorang 2 sahaja yang luluih ataih pagaq untuk subjek EST. Untuk Bahasa Inggeris, ramai jugak yang lulus. Tetapi sekadar lulus. Tak lebih dari itu. Itu pun…aku kena jadi seorang pemeriksa yang sangat bermurah hati.

Bila ditanya kepada guru-guru lain tentang perkara itu “ Hah…besa la tu. Budak-budak sini bukan gheti BI. Lepa (Depa/mereka) bukan mau pun belajaq BI. Sabit tu (sebab tu) kalau hang tengok budak-budak yang ambik Sains dgn Math dalam BI kat sekolah ni semua tak luluih. Habuk pun takdak” kata seorang cikgu lelaki, sambil menghisap rokok daun yang digulung sendiri, sewaktu kami bersembang di kantin.

“ Kalau dulu, waktu dua-dua subjek ni lepa ajaq dalam BM pun student tak pandai. Ni pulak nak mengajaq dalam BI. Punah anak bangsa hang tau dak Haikal. Lepa ni orang kampung. Satu hapa pun depa tak gheti. Lagi nak suruh belajaq dalam BI. Apa punya otak pun aku tak tau” sambung cikgu itu dalam nada kesal bercampur geram. Ada juak-juak meluat di mukanya.

“PUNAH ANAK BANGSA” terngiang lagi perkataan tu dalam fikiran aku sampai sekarang.

4. Satu hari tu, aku masuk mengajaq BI kat dalam kelas tingkatan 4 Perdagangan. Ada 4 orang pelajar lelaki sewaktu aku sedang mengajar di depan, depa dok berkumpul 4 orang dalam satu bulatan kat belakang.

“ Tu kat belakang, hangpa tengah buat apa tu” Aku dah tak cakap Inggeris lagi dah dalam kelas (Pelik kan. Mengajar bahasa inggeris dalam bahasa melayu. Tapi apa boleh buat... Payah. Susah. Kesian dengan mereka yang tak faham apa-apa)

Ada budak lain yang tolong jawabkan soalan aku tu, tapi dalam keadaan yang separuh berbisik:
“ Depa tengah main Sing-Kong Sir”
“Menatang apa tu?” aku bertanya kehairanan.
“Judi” (Sing-kong: lambung duit syiling, pastu pakat-pakat teka kepala ka ekoq. Sapa betoi dia dapat duit syiling tu)
“ Budak-budak kat belakang…baik hangpa berenti sebelum saya panggil PK HEM. Kalau tak mau belajaq, Hangpa dok diam-diam kat belakang. Tidoq!” tegas aku dalam nada separuh bengang.

“Ok sir” jawab seorang dari mereka dalam keadaan senyum. Aku hanya mampu geleng kepala dan teruskan pengajaran “Mari Mengenal Bahasa Inggeris”

“Ok kelas…kalau I…padan dengan Am”
“I am”
“kalau he atau she yang maksudnya Dia…padan dengan Is”
“He is”

Itu antara situasi-situasi yang berlaku di luar Bandar. Ops…di luar lagi daripada luar bandar. Sekolah tempat aku mengajar tu, ada antaranya pelajar Siam. Memang di utara Kedah ramai orang Siam dan anak-anak mereka ini dihantar ke sekolah-sekolah kerajaan, macam juga orang melayu.

Kesimpulan mengenai system pendidikan Malaysia:

1. Hancur.
Sistem pendidikan yang hanya memihak kepada orang di bandar memang hancur. Dulu, bolehlah pelajar-pelajar luar bandar ni dapat walaupun sedikit ilmu sains dan matematik kerana mereka faham apa yang diajar sebab diajar dalam bahasa ibunda mereka. Sekarang? Tak dak!
Alasannya adalah untuk mewujudkan semangat persaingan. Kalau tak dipaksa, mereka tak akan belajar. ITU ALASAN SEMATA-MATA.

Berpijaklah ke bumi yang nyata wahai menteri-menteri terutamanya Menteri Pelajaranku! Cuba kalau hangpa yang datang mengajar di sekolah tu. Hangpa akan jadi tertekan seperti juga guru-guru di situ. Malah sepatutnya lebih lagi. Sebab hangpa menteri yang bertanggungjawab atas apa yang terjadi. Budak-budak di sekolah hilang langsung minat untuk belajaq sains dan matematik. Sampaikan soalan 4 divide by 2 equals? pun…terkial-kial nak kena cari makna divide dan equal dulu.

2. Tak adil.
Cikgu-cikgu di luar bandar dikerah melakukan macam-macam. Buat kelas tambahan itu ini. Pelajar bukan datang pun. Sebab mereka tak mahu.

Sebab apa tak mahu?
Sebab meraka tahu mereka tak akan lulus. Sebab mereka tahu, mereka akan hanya masuk paling tinggi pun ke politeknik. Sebab mereka tahu, mereka tak akan ke mana. Tiada universiti dalam hidup mereka. Tiada obersi. Tiada. Tiada. Tiada.

Sebab apa mereka sebegitu, begitu pessimistic?
Sebab mereka tak mampu. Nak cari guru tuisyen macam orang Bandar? Nak beli buku ulangkaji 2 3 buah? Mana nak cari duit?

Ayah buat bendang, tu pun tumpang bendang orang lain. Mak menoreh getah. Tu pun pokok getah orang lain. Abang gheja pomen gheta. Tu pun kat kedai pomen orang lain. Mana ada duit?

Apa yang mereka ada?
Mereka ada kelas tambahan di sekolah yang jadi tenaga pengajarnya adalah cikgu-cikgu sekolah tu jugak. Yang pagi tadinya mengajar dalam kelas, dan mereka tak faham. Petang, bila buat kelas tambahan, cikgu yang sama jugak. Mestilah tak faham jugak.
“Habeh tu, buat apa aku mai kelas tambahan?”

3. Mengarut.
Tok-tok menteri…saya nak tanya. Ada dak hangpa hantaq anak-anak hangpa mengaji kat sekolah kerajaan macam yang kat atas? Paling koman pun, SBP. Paling koman pun MRSM. Dan yang paling menarik…pak menteri yang dok push supaya system yang ada sekarang ni diteruskan pun hantaq anak belajaq kat sekolah swasta.

Tolonglah pak menteri. Berpijaklah di bumi nyata. Takkan bila hari ni Bahasa Inggeris menguasai dunia, kita belajaq Sains matematik dalam BI. Esok lusa kalau bahasa Cina naik jadi bahasa utama dunia? Waktu tu hangpa terketaq-ketaq nak suruh orang melayu belajaq sains matematik dalam Bahasa Cina? Tak ka bercelaru system pendidikan Malaysia waktu tu
Kita ada golongan luar Bandar yang mereka nak juga pandai sebagaimana orang-orang di Bandar. Tapi mereka kurang kemampuan. Janganlah aniaya mereka. Kalau menteri sendiri pun tak hantar anak belajar di sekolah kerajaan…tidakkah itu mengarut???

Sedikit pengalaman manis:

1. “Sir…awat cepat sangat sir mengajaq kat sini? La ni baru kami rasa seronok sikit belajaq English.”

2. “Sir. Lepaih sir keluaq dari sekolah ni…saya malaih mai sekolah lagi dah.Tak best dah lepaih nih”

3. “Sir, nanti kalau sir dah pi obersi, jangan lupa hantaq gambaq sir kat kami naa. Kami nak pi…mesti tak buleh punya. Tengok gambaq sir main salji pun kami dah rasa best. Sir jangan lupa naa.”

4. “Sir, nak ambik gambaq dgn Sir. Nanti takdak la kami teringat selalu kat sir”

5. “Ni sir…hadiah daripada kami. Kami share duit ramai-ramai ni sir” (menitis air mata aku bila aku bukak kotak hadiah tu…hadiahnya hanyalah sebuah jam loceng yang baru semalam aku nampak ada dijual di pekan nat (pekan sehari)…harganya hanyalah sekitar RM2. Moga Allah sahaja yang mampu balas keikhlasan kamu semua anak-anak muridku)

5. “Sir…ni ada sorang budak dia lukih gambaq sir. Tapi dia malu nak bagi sendiri kat Sir”
“Mana dia?” aku tanya kembali.
“Dia tak mau mai sekolah hari ni…dia sedih”

6. “Ok kelas, hari ini hari last saya ajaq hangpa kat sini. Insha Allah kita jumpa lagi. Kalau sapa-sapa nak kontek saya, saya bagi alamat emel. Kalau ada yang pi CC (cyber cafĂ©) kat pekan tu nanti, tulih la emel kat saya. Tulih dalam bahasa Inggeris tau. Biaq salah pun takpa. Kalau dak…saya tak mau layan”

Dan sehingga ke hari ini…memang ada yang menulis pada aku…tapi dalam BI yang dhaif. Takpalah…semangat kalian aku hargai.

Dan ada juga pengalaman-pengalaman lain…yang tak manis diceritakan di sini. maklumlah…cikgu muda katakan.
sumber : kedahlanie

Thursday, March 5, 2009

Minda Pengarang: Kolej Tingkatan Enam rangsang pelajar duduki STPM

CADANGAN kerajaan mewujudkan Kolej Tingkatan Enam wajar diberi perhatian serius semua pihak kerana saranan itu pernah diuar-uarkan Kementerian Pelajaran sebelum ini, namun tidak menjadi kenyataan. Kelas Tingkatan Enam menjadi pilihan pelajar sebelum kewujudan kolej matrikulasi dan pusat asasi universiti sebagai laluan pendidikan terakhir sebelum terpilih memasuki universiti tempatan. Namun kini, kelas berkenaan hanya menjadi tempat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal memasuki kolej matrikulasi untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai syarat bagi melanjutkan pelajaran ke universiti. Dengan mewujudkan Kolej Tingkatan Enam, kita berharap ia dapat menarik semula pelajar untuk menduduki peperiksaan STPM sebagai laluan memasuki pusat pengajian tinggi. Dalam pada itu, kita juga berharap langkah kerajaan untuk meningkatkan taraf kolej berkenaan bukan disebabkan untuk menaikkan pangkat guru yang mengajar di kelas berkenaan, sebaliknya usaha berterusan Kementerian Pelajaran dalam memantapkan kelas Tingkatan Enam selaras dengan perkembangan pendidikan negara. Kita juga dapati kurikulum untuk Tingkatan Enam tidak pernah berubah sejak sekian lama, malah sesetengah pelajar lepasan SPM enggan melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam kerana sukatan pelajarannya tidak memenuhi perkembangan semasa. Ini jelas berbeza dengan kurikulum yang disediakan pusat asasi universiti dan kolej matrikulasi yang direka khas untuk memenuhi keperluan semasa universiti.

Kerajaan juga perlu memikirkan sama ada kewujudan kolej berkenaan perlu diasingkan daripada sekolah biasa atau dalam kawasan sama. Jika kelas Tingkatan Enam sekarang kekal di sekolah dengan hanya perubahan peningkatannya menjadi kolej, ia tentu menimbulkan masalah kepada pengurusan sekolah terutama guru yang mengajar kelas bawahan, walaupun pengetuanya memegang Gred Jusa C dan Timbalan Pengetuanya DG54. Kita bimbang akan wujud rasa tidak puas hati di kalangan guru yang tidak terpilih untuk mengajar kelas berkenaan, terutama bagi mereka yang layak kerana kini kebanyakan guru yang mengajar di Tingkatan Enam adalah guru muda, sedangkan guru lama dan berpengalaman tidak terpilih. Bagi mengatasi masalah ini, kementerian boleh mewujudkan kolej tersendiri yang hanya menempatkan pelajar Tingkatan Enam dan pemilihan guru dibuat mengikut kelayakan di daerah atau negeri berkenaan bagi memberi keadilan kepada semua. Dalam pada itu, kita juga meminta kementerian merombak semula kurikulum STPM supaya ia memenuhi keperluan semasa. Kita tidak mahu pelajar dibebankan dengan terlalu banyak mata pelajaran yang perlu dihabiskan dalam tempoh satu setengah tahun pembelajaran. Ini penting bagi membolehkan pelajar menganggap selama tempoh belajar mereka mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Jika tidak usaha kerajaan akan gagal kerana pelajar enggan mengambil STPM, sebaliknya memilih memasuki pusat pengajian tinggi yang menawarkan pengajian peringkat diploma sebelum memasuki pasaran pekerjaan atau menyambung pengajian peringkat ijazah.

sumber: berita harian
 

© New Blogger Templates | Tech Blog