Monday, March 24, 2008

Pedagogi dalam BI patut diubah suai

SAYA bersetuju dengan pandangan Mohd Nasir Basar dalam ruangan ini baru-baru ini, yang mahukan kajian semula dilakukan bagi penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains.

Pandangan penulis itu ada benarnya, iaitu pedagogi dalam bahasa Inggeris yang perlu diubah suai atau diberi penekanan bukan 'menginggeriskan' Matematik dan Sains. Kalau dulu pelajar cuma lemah bahasa Inggeris tetapi masih menguasai Matematik dan Sains dengan cemerlang atau sekurang-kurangnya memahami konsep subjek itu.

Tetapi kini, ramai pelajar langsung tidak faham Matematik dan Sains seperti mana mereka tidak fasih bahasa Inggeris. Saya lemah bahasa Inggeris tetapi kerana cemerlang Matematik dan Sains, saya boleh meneruskan pelajaran sehingga ke ijazah sarjana muda dalam bahasa Inggeris kerana di universiti kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris.

Kita akui bahasa Inggeris penting untuk pelajar sekarang dan semua orang pada zaman teknologi maklumat ini. Namun fikir cara lain yang mampu mengubah pelajar untuk mahir dalam bahasa Inggeris.

Kenapa pengajaran bahasa Inggeris tidak dibuat bengkel khas seperti pendidikan agama Islam melalui langkah kementerian mewujudkan guru J-QAF (Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain) untuk mengajar pendidikan agama di luar waktu kelas perdana, sedangkan dalam jadual kelas perdana ada pendidikan agama. Pendekatan itu boleh membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan berkesan.

Sebagai bakal guru, saya menyokong dasar kementerian tetapi kita perlu lihat semula jika dasar itu tidak membantu pelajar.

IZIANA MUKHTAR, Putrajaya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Surat/20080323221722/Article/index_html

ulasan:
alhamdulillah dapat juga kita melihat komentar dari individu yang tiapa-tiap hari 'bermain' dengan bahasa inggeris dan di siarkan pula oleh akhbar yang pro kerajaan, mungkin angin perubahan dari keputusan PRU yang lepas.

semoga komen yang sederhana pendek ini di beri perhatian yang sewajarnya oleh pihak kementerian agar dapat melakukan sesuatu bagi mengelak lebih ramai pelajar terutamanya dari luar bandar tercicir(saya berasal dari pedalaman).

Wednesday, March 19, 2008

Analisis: Kesan ICT tidak boleh dipandang ringan

Oleh Hizral Tazzif Hisham dan Zef Othman

DI sebalik 'tsunami politik' yang meragut kelebihan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen, ada 'kuasa' lain lagi dipercayai menjadi faktor ke arah itu - teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Hatta, Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan kebangkitan media alternatif seperti internet, 'blog' dan khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai saluran kepada pembangkang untuk menyalurkan mesej mereka kepada pengundi. Internet pada asalnya adalah ciptaan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) untuk menghadapi serangan nuklear Russia pada zaman Perang Dingin, bertukar menjadi alat penuh berkuasa menyebarkan pandangan dan suara hati rakyat.

Untuk rekod, sistem rangkaian komputer di Malaysia yang dimulakan pada 1988 oleh Mimos Bhd berkembang dengan kadar pantas. Negara ketika ini memiliki pengguna internet seramai 3.9 juta (talian dail) dan 1.2 juta (perkhidmatan jalur lebar). Kini, ia menjadi pilihan utama golongan muda, kelas menengah dan terpelajar di bandar mendapatkan maklumat. Internet yang banyak digunakan bagi aplikasi perdagangan dan pendidikan jarak jauh sebelum ini bertukar menjadi gelanggang bagi orang ramai membicarakan pelbagai isu politik. Kemampuan sistem rangkaian komputer yang dapat menyebarkan maklumat secara pantas dan meluas memberikan kelebihan kepada parti pembangkang. Ruang siber yang selama ini hanya menjadi tumpuan anak muda bertukar mesej menerusi aplikasi sembang dan pesanan segera (instant messaging), kini menjadi gelanggang bagi pembangkang untuk mengkritik kerajaan dan orang ramai meluahkan segala yang terbuku di hati terhadap pelbagai dasar kerajaan yang dilihat menekan mereka.

Bermula dengan blog (jurnal atas talian) yang hanya digunakan sebelum ini untuk mencari rakan atau berkenalan di kalangan generasi muda, berubah kepada tempat untuk mereka yang tidak berpuas hati terhadap polisi kerajaan meluahkan perasaan mereka. Penggunaan semua aplikasi seperti mel elektronik, blog, SMS, dan YouTube selain daripada kaedah tradisional seperti melakukan salinan terhadap laporan berita pembangkang yang ada dalam laman web menjadikan media alternatif ini sebagai wadah baru bagi pembangkang menyalurkan pandangan mereka.

Pesanan dihantar bukan lagi dalam bentuk mesej yang boleh menimbulkan kemarahan secara terus, tetapi dalam bentuk jenaka, pantun dan gurindam yang mengajak pengundi untuk mengundi parti tertentu. Sindiran halus itu terus disebarkan secara meluas menerusi SMS dan ia menjadi seperti rantaian mesej yang dipindahkan daripada satu pemilik telefon selular kepada pemilik lain.

Mesej yang dihantar mendapat sambutan hebat daripada penerima dan terus menghantar mesej sama kepada kenalan masing-masing dan akhirnya terus merebak ke seluruh negara. Pengundi tidak melihat halangan fizikal komunikasi seperti kekurangan penembusan internet dan perkhidmatan jalur lebar, kerana ia bukan penghalang lagi kepada penghantaran mesej berkenaan. Ketua Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Dr Azizah Hamzah, berkata inisiatif siber yang diilhamkan kerajaan menerusi MSC Malaysia, internet, perkhidmatan jalur lebar dan komunikasi termaju seperti teknologi komunikasi generasi ketiga (3G) kurang dimanfaatkan berbanding pembangkang. "Pembangkang yang menyedari saluran mereka tertutup untuk muncul dalam media arus perdana memanfaatkan sepenuhnya media alternatif bagi menyebar luas idea mereka dan juga isu yang muncul di kalangan rakyat," katanya.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kerajaan masih lagi bergantung kepada media tradisional seperti televisyen, radio dan akhbar untuk menyampaikan mesejnya. Beliau berkata, kerajaan dilihat agak berhati-hati dan kurang yakin terhadap kemampuan memujuk atau menawan hati pengundi menerusi alam siber.

"Walaupun, media arus perdana secara sistematik memaparkan semua kejayaan BN memerintah negara selama 50 tahun menerusi iklan yang disiarkan di televisyen atau akhbar, pengundi di bandar enggan menerima mesej itu, sebaliknya beralih ke alam siber untuk mendapatkan maklumat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Scan Associates Berhad, Prof Datuk Dr Norbik Basha Idris, berkata dalam pilihan raya baru-baru ini pembangkang dilihat melaksanakan beberapa strategi yang dilihat mampu memberikan jawapan terhadap isu dibangkitkan kerajaan secara cepat dan tepat. "Pembangkang menggunakan semua yang ada sama ada web TV, SMS, MMS, 3G, blog dan gerbang. Mereka juga berjaya meraih bantuan kewangan untuk dana bagi kegiatan parti menerusi perbankan internet, pertukaran dana secara elektronik dan penyumbang dari luar negara," katanya.

Beliau menjelaskan wujud juga aktiviti ofensif seperti menceroboh (hack) server lawan dengan niat untuk memusnahkan maklumat yang ada di dalamnya. Kisah kejatuhan Shah Iran yang digulingkan rakyat perlu diambil iktibar, Ayatullah Khoemini hanya menggunakan pita rakaman video dan kaset ceramahnya yang disalin dan diedarkan kepada rakyat Iran dan kaedah ini terbukti berjaya menggulingkan Shah. Apatah lagi, zaman ICT ini kerana mengikut sarjana komunikasi Herbert Marshall McLuhan, dunia hanyalah sebuah kampung, kesan ICT tidak boleh dipandang rendah.

Mungkin juga kita boleh mencontohi Korea Selatan yang memiliki kadar penembusan 99 peratus perkhidmatan jalur lebar. Rakyat di sana menubuhkan apa yang diistilahkan sebagai kewartawanan massa (citizen journalisme), apabila Oh Yeon Ho, seorang lulusan doktor falsafah dalam bidang komunikasi massa menubuhkan akhbar internet yang dikenali sebagai Ohmynews (wwww.ohmynews.com) pada 2000. Oh akan membayar setiap berita yang keluar sebanyak AS$3 bagi laporan biasa dan AS$20 bagi cerita utama. Walaupun, bayaran itu dikira rendah, Oh memiliki 44,000 orang biasa yang mendaftar dengannya untuk bertindak sebagai pemberita. Ohmynews amat berpengaruh di Korea Selatan, hinggakan Presiden Roh Moo Hyun apabila dilantik sebagai Presiden Korea Selatan pada 2002 menerima jemputan Ohmynews untuk ditemuramah kerana beliau berpendapat Ohmynews mewakili suara generasi muda di Korea.

Katanya, jika selama ini ruang siber terabai kerana keupayaan media arus perdana menyampaikan mesej, namun media alternatif tidak boleh ditinggalkan. Satu perancangan strategik perlu dilakukan untuk menyampaikan mesej di kalangan pengundi generasi muda yang menggunakan internet sebagai medium mereka. Kegagalan untuk menyampaikan mesej kerajaan kepada mereka mungkin boleh memberi 'pukulan maut' kepada parti pemerintah dalam pilihan raya umum akan datang, apabila kadar penembusan jalur lebar meningkat kepada 50 peratus dalam tempoh tiga tahun lagi.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Rencana/20080319003134/Article/index_html

ulasan : sudah sampai masanya untuk para pendidik di malaysia umumnya mengambil inisiatif dan memperkasakan penggunaan ICT di kalangan pelajar sekolah. Pendidik tidak seharusnya mengambil mudah akan perkara ini tanpa membuat apa-apa inisiatif yang berguna demi meningkatkan lagi kefahaman pelajar sekolah tentang penggunaan ICT. Jika 20 tahun lagi kita mahu melahirkan pemimpin dan yang dipimpin yang berjaya dan berfikiran, inilah masa yang sesuai kita menanamkan kefahaman kepada mereka semua,

jika 20 kemudian ini masih ada warga malaysia yang belum mengenali apa itu internet, sebenarnya kita telah gagal membentuk mereka menjadi manusia yang berfikir(jika situasi sekarang di ambil kira).
 

© New Blogger Templates | Tech Blog