Wednesday, January 21, 2009

Perhimpunan bantah PPSMI pada 7 Mac

Perhimpunan anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan diadakan pada 7 Mac depan.

Sempena perhimpunan tersebut, GMP juga akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campur tangan baginda dalam menyelesai isu tersebut.

Pengerusi jawatankuasa induknya, Datuk Dr Hassan Ahmad berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat gabungan itu malam tadi di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam.

Bagaimanapun, kata beliau yang juga bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), butiran terperinci mengenai perhimpunan belum diputuskan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mesyuarat malam tadi menimbang cadangannya supaya mengkaji baik-buruk rancangan mengadakan perhimpunan tersebut.

Ketika membentangkan cadangan itu malam tadi, Dr Hassan difaham memaklum kepada mesyuarat bahawa ramai yang belum memahami sepenuhnya tujuan bantahan itu hendak diadakan.

Beliau juga difahamkan mencadangkan supaya diadakan kempen penerangan bagi membolehkan semua pihak benar-benar memahami isu tersebut, sebelum perhimpunan besar itu diadakan.

Bukan anti-kerajaan

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Hassan berkata, setelah cadangannya itu diusulkan dan diperbincangkan, mesyuarat sepakat untuk meneruskan perhimpunan itu pada 7 Mac depan.

Bagaimanpun, katanya, mereka menghadiri mesyuarat tersebut sepakat untuk meneruskan perhimpunan itu mengikut garis panduan yang dipersetujui.

Antaranya, tambah beliau, ialah perhimpunan itu tidak boleh dilihat bercirikan kegasanan dan perkauman.

"Kalau bentuknya macam Hindraf (Barisan Bertindak Hak Hindu), saya tak nak (terlibat)," katanya sekali lagi mengulangi pendirian yang ditegaskannya semalam.

Menjawab soalan, beliau menegaskan perjuangan GMP bukan berasaskan perkauman - untuk bangsa Melayu sahaja.

Sebaliknya, tegas Dr Hassan perjuangan mereka adalah perjuangan kebangsaan dan untuk kebaikan semua kaum.

Beliau juga berharap gabungan itu tidak dilihat sebagai anti-kerajaan dan pro-pembangkang hanya kerana ia turut dianggotai ahli politik pembangkang manakala mesyuarat malam tadi diadakan di bangunan SUK Selangor yang diteraju Pakatan Rakyat.

"Di awal mesyuarat, saya beritahu semua, termasuk, (Timbalan Presiden PAS) Nasaruddin (Mat Isa) sendiri bahawa mereka bukan mewakili mana-mana parti politik tetapi atas dasar sebagai pejuang bahasa," katanya.

sumber : Malaysiakini

Saturday, January 10, 2009

sajak : BATU



Genggamannya meramas erat seketul batu ,

Tangannya yang penuh biratan luka itu ,

Gagah menghayun seiring … Allahu Akbar !

Ternyata hayunan itu membidik tepat sasarannya … kesakitan ,

Dia gembira … benar-benar …

Gembira dan bertakbir … Allahu Akbar !

Lalu air mata girang dikesatnya … rupanya dia hanyalah seorang budak .

Budak sepertinya di usia ini ,

Manja melentok di ribaan ibu ,

Kamus hidupnya hanya gembira , bermain dan tertawa ,

Noktah suka dan ria seakan tiada padanya ,

Tapi kenapa dengan budak ini … kenapa kau haibudak ?

Apa yang menghalangmu… untuk ketawa gembira

Seperti kanak-kanak kecil di sana , di sana , di sana dan di sana ?

Aku ? Kau kata aku tak gembira !

Bahkan sebaliknya … kerana aku bukan pengecut ,

Bahkan aku tiada masa yang perlu dibazirkan ,

Tanggungjawabku lebih menggunung dari masa kanak-kanak lain ,

Aku juga tak pernah keseorangan sebegini ,

Lihat nun di sana … kawan-kawan ku

Mereka bukan bacul seperti kalian

Mereka berjihad … takbir … Allahu Akbar !

Bukankah ini hanya kerja yang bodoh ,

Balingan batu-batu kerdil ini tak mungkin

Menghalang apatah menewaskan mereka

Mereka juga tak sedikit pun rugi

Alangkah bodohnya …

Bodohkah kami ini …yang ingin membela diri

Tapi apa yang telah kau buat

Di mana pula negara-negara Islam … kononnya ,

Di mana mereka ? Di mana tika ini ?

Kecut , bacul ,penakut … tapi kami tak seperti kalian

Tak mungkin kami tunggu dan lihat

Bila darah ayah mengalir deras

Sedang ibu bermandikan darah

Kakak meratap gila … kehilangan maruah

Ya Allah .. bantulah kami ini !

Tapi … kami tak dapat bantu ,

Kami juga ……..

Aah … kau diam ,

Kami tak mahu alasan .. kami mahu tindakan … kami mahu tindakan ..

ya tindakan !

Darah ad-Durrah takkan sia-sia ,

Bahkan kami tuntut dan kami bela ,

Kami iringi titisan demi titisan cecair merah panas itu

Dengan lontaran demi lontaran batu-batu ini ,

Biar nyawa kami menjadi taruhan ,

Kami akan terus berjuang … Allahu Akbar ! …. Daaam …. Aaarghh

Dan itulah laungan takbirnya yang terakhir ..seorangbudak kecil .

* Sajak ini sebagai mewakili suara hati kanak-kanak Palestin . Bahkan inilah gambaran kehidupan mereka kini kerana umat agama yang disayanginya ini , umat Islam masih belum mahu bersatu padu .

Monday, January 5, 2009

Hassan Ahmad sedia pimpin himpunan 'selamatkan BM'



Datuk Dr Hassan Ahmad menyatakan kesediaanya memimpin Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu - yang merancang mengadakan perhimpunan besar ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) - bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaraan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kalau tidak ada orang (tokoh lain), bolehlah," kata tokoh pejuang bahasa itu, yang juga bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bagaimanapun, tambah Dr Hassan, butiran lanjut bantahan sekretariat itu, serta jawatan rasmi beliau dalam sekretariat itu belum diputuskan.

Beliau menambah, keputusan berhubung kedua-dua perkara itu bergantung kepada hasil pertemuan sulungnya dengan jawatankuasa pelaksananya - yang dikepalai pengarahnya Hasni Abas - Rabu depan.

Penghujung bulan lalu, sekumpulan NGO Melayu dan parti pembangkang sepakat menganjurkan demonstrasi besar - digelar "Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu" - bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Hasni Jumaat lalu berkata, memorandum tersebut antaranya, memohon campur tangan baginda sebagai ketua negara bagi mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dua subjek itu.

Umno harus sokong

Sementara itu, Dr Hassan ketika diminta mengulas pelaksanaan dasar kontroversi yang diperkenalkan tujuh tahun lalu itu berkata:

"Saya ini sudah menyampah. (Kerajaan) timbulkan masalah... kerajaan pandai buat masalah tetapi tidak pandai selesai masalah," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Dulu semasa keputusan (memperkenalkan PPSMI) dibuat, tidak minta pandangan orang lain."

Mengulas lanjut, beliau yang juga pengerusi Yayasan Karyawan berkata, desakan bagi memansuhkan PPSMI "harus datang dari dalam Umno" sebagai parti terbesar orang Melayu dalam gabungan BN.

Tambahnya, sekarang merupakan masa yang tepat untuk menyuarakannya bantahan itu memandangkang pemilihan agung parti itu (Mac depan) hanya tinggal dua bulan lagi.

Dr Hassan turut menyuarakan rasa kecewanya kerana dalam Umno sekarang ini, banyak pemimpin dan ahli-ahlinya, lebih bersikap mengikut sahaja keputusan yang dibuat.

Pertemuan esok

Parti-parti pembangkang juga digesa lebih aktif menyuarakan bantahan itu.

"Kalau PAS (membantah), kuat suaranya. Kalau PKR bersuara, kuat," kata Dr Hassan.

Hasni ketika dihubungi, mengesahkan pertemuan beliau dengan Dr Hassan bagi membincangkan bantahan terhadap pelaksanaan PPSMI.
Menurutnya lagi, pertemuan itu yang asalnya dijadualkan esok, terpaksa ditunda ke hari Khamis depan memandangkan ada ahli jawatankuasa yang tidak dapat hadir pada masa yang telah ditetapkan.

Mengulas perkembangan terkini penyertaan terhadap kempen itu, Husni berkata, 13 NGO dan sayap Pemuda pembangkang - PAS dan PKR - telah pun menyatakan kesediaan mereka terlibat dalam bantahan itu.

NGO terbabit, antaranya, Kesatuan pekerja DBP,Persatuan Linguistik Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia dan Angkatan Sains Islam Malaysia (Asasi)
sumber:Malaysiakini

Thursday, January 1, 2009

SMKA Kedah catat keputusan cemerlang PMR

Oleh Samsudin Oli Mohamed

BERKAT usaha dan kesungguhan tak mengenal jemu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Alor Star mencatat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008.

Dengan pencapaian pelajar 100 peratus lulus dan seramai 51 mendapat 9A dalam peperiksaan itu, SMKA Kedah berjaya menempatkan diri dalam kelompok elit di negeri itu serta mencatat sejarah tersendiri. Malah, kebanyakan pendidik di sekolah berkenaan tidak menyangka dengan kejayaan dicapai itu.

Lebih manis, kejayaan tersebut dikongsi bersama Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Shahidan Abdul Rahman yang telah menyampaikan sendiri slip peperiksaan kepada pelajar cemerlang di sekolah berkenaan.

Terdahulu ucapannya, Shahidan, mengucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang, sekali gus menaikkan imej sekolah.

Sambil memuji sumbangan dan pengorbanan guru serta ibu bapa, Shahidan, berkata lonjakan dalam PMR adalah tanda positif dalam bidang pendidikan di negeri itu.

Salah seorang pelajar, Mohd Faiz Mokhtar Kamal, mengucapkan rasa syukur kerana berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
“Saya percaya hanya usaha gigih dan berterusan saja mampu membantunya mencapai kejayaan manis tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ummi Hazwani Ishar, berkata keputusan yang diperoleh sudah dijangka berdasarkan ujian percubaan yang diduduki sebelum ini.

Ditemani keluarganya, Ummi mengucapkan terima kasih kepada guru kerana banyak membantu mencapai keputusan yang diperoleh itu.
sumber :http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Pendidikan/20090101081001/Article/index_html
 

© New Blogger Templates | Tech Blog