Thursday, November 22, 2007

Pelajar universiti hanya baca 12 buku

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Amalan membaca buku tambahan di kalangan pelajar universiti di negara ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pelajar universiti di luar negara iaitu secara purata mereka hanya membaca 12 buah buku selama tiga tahun pengajian.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, berdasarkan satu kajian, jumlah buku yang dibaca oleh pelajar Australia ialah 180 buah, Indonesia (94 buah), India (130 buah), Thailand (56 buah) dan Brunei (26 buah).

Beliau berkata, penemuan itu adalah hasil perbandingan yang dibuat oleh seorang pensyarah Jabatan Media, Universiti Malaya (UM), Dr. Abu Hassan Hasbullah mengenai tabiat membaca di kalangan pensyarah dan pelajar di negara ini.
‘‘Mengikut kiraan yang mudah, pelajar kita hanya membaca empat buah buku setahun. Itu belum dikira hasil kajian mengenai jumlah buku yang dibeli oleh pelajar-pelajar kita.
‘‘Berdasarkan kajian oleh pensyarah yang sama, jumlah buku yang dibeli oleh pelajar kita pula hanya setakat empat buah untuk tiga tahun pengajian (enam semester),’’ kata Noh pada majlis perasmian Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-11 di sini hari ini.


Antara yang hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh dan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan.
Rakan media persidangan itu ialah Pemikir iaitu jurnal terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd..
Menurut Noh, berbanding pelajar universiti di luar negara, jumlah buku yang dibeli oleh pelajar Australia ialah 160 buah, Indonesia (43 buah), Thailand (31 buah), India (75 buah) dan Brunei (15 buah).

‘‘Satu perkara yang juga menyedihkan ialah jumlah buku yang dibaca oleh pensyarah di Malaysia hanya baik sedikit daripada pelajar iaitu secara purata 20 buah buku untuk tiga tahun pengajian (enam semester),’’ katanya.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudian, Noh meminta kerajaan menyediakan satu dana khas bagi membangunkan lagi industri buku di negara ini.
Beliau berkata, konsep dana itu adalah sama seperti penubuhan tabung-tabung lain yang khusus untuk membantu golongan tertentu seperti petani, penternak dan usahawan kecil.


‘‘Setakat ini tiada pinjaman yang dikhususkan untuk mereka yang mahu terlibat dalam industri ini. Pihak bank seolah-oleh tidak yakin dengan kemampuan industri ini.
‘‘Saya amat berharap kerajaan dapat menyediakan dana itu yang kemudian disalurkan ke bank-bank untuk diberikan kepada mereka yang berminat membabitkan diri dalam industri tersebut,’’ tambahnya.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm

Friday, November 16, 2007

Murid 5A UPSR meningkat


Oleh Azrina Ahzan, Shaarani Ismail dan Asrol Awang


PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 yang dikeluarkan semalam, mencatat peningkatan dari segi bilangan calon yang memperoleh 5A dan lulus semua mata pelajaran. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang berpuas hati dengan prestasi calon UPSR tahun ini, berkata keputusan itu mencerminkan kejayaan program melahirkan modal insan yang diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) serta Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).


"Saya berharap pencapaian ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementeriannya di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang; Setiausaha Parlimen, P Komala Dewi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom. Keputusan UPSR 2007 diperoleh calon di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi semalam. Bagaimanapun, analisis keputusan dan peratusan kelulusan serta senarai pelajar cemerlang akan diumumkan hari ini.


Seramai 511,519 calon menduduki peperiksaan itu dari 3 hingga 5 September lalu di 8,812 pusat peperiksaan di seluruh negara. Hishammuddin berkata, keputusan UPSR itu juga membuktikan tidak wujud kebocoran soalan peperiksaan seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak sebelum ini. "Jika dilihat dari segi grafnya, sekiranya ada soalan bocor, kita dapat lihat dari segi keputusannya dan jelas daripada taklimat yang saya terima, tidak wujud kebocoran," katanya. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Terengganu yang mencatat keputusan terbaik dalam UPSR.


Pada sidang media itu, Hishammuddin juga mengumumkan kementerian akan mewujudkan talian hotline dan faksimili mulai Isnin ini khusus untuk ibu bapa menyalurkan sebarang isu atau masalah berhubung pelajaran anak-anak mereka. "Mereka yang tidak berpuas hati dengan bayaran tambahan, isu beg berat, jadual sekolah atau pandangan berkaitan masa peperiksaan, boleh menyalurkannya menerusi talian itu supaya tiada perkara yang boleh menjejaskan fokus ibu bapa membuat persiapan anak-anak ke sekolah," katanya. Hishammuddin berkata, kementerian juga bercadang mewujudkan Kelab Roket dan Angkasa di semua sekolah bagi menyemai minat pelajar dalam bidang sains dan angkasa. Sementara itu, Pengarah Pelajaran Terengganu, Arifin Embong, berkata berdasarkan maklumat awal yang diterimanya, kira-kira 4,000 atau 17 peratus daripada 24,127 calon UPSR di negeri itu memperoleh 5A, berbanding 12.3 peratus tahun lalu. Beliau berkata, Jabatan Pelajaran negeri menetapkan sasaran 15 peratus murid memperoleh semua A dan pencapaian 17 peratus itu sangat membanggakan.


"Hampir semua sekolah mencatat peningkatan dari segi kelulusan atau pencapaian 5A," katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Bariah di Kuala Terengganu. Sekolah berkenaan adalah antara sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang apabila 41 muridnya memperoleh 5A, meningkat hampir 60 peratus berbanding 28 tahun lalu. Di KUANTAN, Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Aziz Abdul Latif, berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap muncul sekolah paling ramai murid memperoleh keputusan cemerlang 5A di Pahang tahun ini. Abdul Aziz berkata, 82 daripada 321 calon UPSR sekolah berkenaan memperoleh 5A, manakala 35 murid mendapat 4A 1B.

Monday, November 12, 2007

Laporan Khas:Kandungan buku teks biar relevan



Oleh Azrul Affandi Sobry
Kesilapan fakta, isu kurang sesuai perlu disemak semula bagi elak pelajar keliru


LANGKAH kerajaan untuk membekalkan buku teks secara percuma kepada semua pelajar tanpa mengira taraf pendapatan mulai tahun depan pastinya disambut baik dan menjadi berita gembira kepada semua lapisan masyarakat. Tetapi di sebalik berita gembira itu, terselit kisah kandungan buku teks yang bukan saja silap fakta malah perlu semakan semula kerana isu dipaparkan sudah kurang relevan dengan perkembangan terkini. Kebanyakan buku teks yang masih digunakan di sekolah dicetak dan diterbitkan pada 2000 hingga 2002, menyebabkan ada antara isu sudah kurang relevan jika terus digunakan pada ketika ini. Malah, ada fakta dalam buku teks yang dikesan tidak menepati fakta sebenar sehingga menyebabkan pelajar terus disogok dengan sesuatu yang salah sehingga memasuki menara gading.


Ia pastinya menjadi sesuatu yang mengecewakan sekiranya pelajar tidak didedahkan dengan realiti sebenar sejarah negara lantaran terlalu banyak pengisian yang cuba disumbat dalam buku teks yang puratanya hanya setebal 250 halaman. Mustahil sesuatu peristiwa itu dapat dihuraikan secara terperinci dan ia sekali gus menyebabkan pelajar sekadar belajar mengenai apa dan bila sesuatu peristiwa itu berlaku, tetapi tidak memahami mengapa dan apa kesannya kepada peradaban masyarakat. Istilah yang digunakan dalam buku teks juga kadangkala gagal diterjemahkan secara jelas menyebabkan pelajar hanya tahu menghafal, tetapi gagal memahami apa sebenarnya berlaku dalam sesuatu peristiwa.


Cakap-cakap ramai lagi ahli akademik yang mendakwa sudah lama mendengar cerita guru di sekolah tidak gemar menggunakan buku teks kerana pelbagai alasan sewajarnya cukup untuk membuka mata pihak bertanggungjawab meneliti semula kandungan dalam buku teks. Guru pula pastinya sentiasa mengharapkan anak didiknya berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi buku teks tidak menyediakan latihan yang menepati sasaran itu, sudahnya buku kerja juga menjadi pilihan utama. Manakan tidak, guru saban hari terus menerima tekanan daripada pelbagai pihak yang menilai kemampuan mereka hanya dengan melihat berapa ramai pelajar memperoleh keputusan A dalam peperiksaan. Salah siapa? Kementerian juga mensyaratkan kemasukan ke universiti adalah menerusi kecemerlangan dalam peperiksaan. Justeru, isu ini perlu dipandang serius oleh Kementerian Pelajaran kerana sekiranya ia tidak ditangani segera, nyata sekali bekalan buku teks ke sekolah akan menjadi satu pembaziran jika tidak digunakan secara optimum.


Harusnya, pendedahan isu ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak kerana pastinya keputusan membekalkan buku teks kepada semua pelajar adalah sesuatu yang sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan memberikan pendidikan seimbang kepada semua peringkat pelajar. Namun, lantaran keprihatinan banyak pihak yang tidak mahu berlakunya pembaziran, cadangan supaya kementerian menyemak semula bahan dalam buku teks dan memberi lebih kebebasan kepada kelompok guru menyatakan pandangan adalah langkah yang sepatutnya diberi perhatian. Tidak salah rasanya jika kementerian turun padang menyelami hati guru pada setiap peringkat dan meminta pandangan mereka mengenai apa yang kurang serta apa yang perlu ditambah baik supaya satu hari nanti buku teks mampu menjadi bahan pengajaran terulung di sekolah. Seperti kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dalam kes ini, begitu banyak dalih yang diberikan guru menunjukkan ramai tidak mahu menggunakan buku teks. Justeru, kajian segera harus dibuat supaya dalih itu tidak berbunyi lagi dan kualiti pendidikan negara dapat dipertingkatkan.

Thursday, November 8, 2007

4 Tip Berguna Untuk Guru





Mengingati Amanah


Ingatlah bahawa setiap pekerjaan yang anda lakukan merupakan satu amanah dan setiap amanah akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Untuk menjadikan anda lebih bertanggungjawab terhadap kerjaya seorang guru. Amalkan tip ini. Setiap pagi apabila anda melangkah keluar dari pintu rumah untuk ke sekolah, mulakan dengan kaki kanan dan apabila kaki kanan jejak saja ke lantai bisikkan ke dalan hati “ Setiap langkahku menuju ke sekolah membawa amanah daripada Allah, Amanah yang ku pegang ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat.” Bisikan hati ini sangat penting kerana ianya akan menjadi satu benteng kuat yang meniupkan semangat kita untuk berkerja kerana Allah dan insyakallah anda pasti tidak akan lalai menunaikan tanggungjawab. Bisikan hati ini perlu diamalkan setiap hari dan kesannya anda pasti akan rasa dalam masa seminggu jika anda amalkan.


Langkah Pahala


Anda perlu tahu, bahawa dari mula langkah anda keluar dari rumah ke sekolah adalah langkah-langkah yang dipenuhi dengan pahala, rahmat dan restu daripada Allah. Cuba anda bayangkan bahawa setiap langkah anda menuju ke kelas, berulang alik dari satu kelas ke satu kelas anda telah mengumpul banyak keberkatan daripada Allah. Belum lagi anda mengajar, anda hanya baru melangkah tetapi anda sudah dilempahi rahmatnya. Umpama anda berjalan sambil mengutip wang siling yang bertaburan di merata-rata di sepanjang perjalanan. Jika anda tahu, pasti seminitpun anda tidak akan lalai dari melambat-lambatkan langkah anda untuk masuk ke kelas.


Kuasa Memberi


Sebenarnya amat susah untuk kita memberi, kerana setiap pemberian yang kita hulurkan pasti mengharapkan sesuatu sama ada ganjaran kewangan, penghargaan, pangkat dan darjat. Jika semua yang diharapkan tidak berbaloi sukar untuk kita menghulurkan sesuatu tambahan pula benda yang akan kita berikan merupakan benda yang amat kita sayang dan hargai. Namun sebenarnya kuasa memberi itu amat luar biasa, Malah para sarjana, tokoh-tokoh islam terkemuka dan sahabat-sahabat nabi sudah mengamalkan dari dulu lagi. Memberi di sini bukan bermaksud harta benda sahaja, memberi di sini mencakupi istilah yang luas. Sebagai seorang guru, memberi nasihat, memberi tunjuk ajar, memberi pengetahuan, memberi peluang kepada pelajar, memberi kata-kata positif dan memberi ruang untuk berhubung dan berkomunikasi dengan pelajar secara ikhlas adalah istilah memberi sebenarnya bagi seorang guru. Memberi di sini bukan kerana ianya satu tanggungjawab kerana ”Aku di bayar Gaji” tetapi memberi untuk melihat anak bangsa berjaya, anak bangsa berdaulat, anak bangsa menjaga maruah agama dan negara dan anak bangsa yang akan mewarisi dunia. Itulah istilah memberi yang sesungguhnya anda akan dilimpahi rahmat Allah jika anda amalkan dalam kehidupan anda seharian. (Baca article tajuk ”Kuasa Memberi” dalam laman ini juga untuk memahami apakah kuasa memberi)


Melihat Potensi


Satu lagi tip yang amat berguna yang mana ianya boleh diamalkan oleh setiap guru jika ingin melihat perubahan yang baik terhadap anak didik mereka ialah melihat potensi. Melihat potensi di sini bermakna bukan melihat potensi anda sebagai seorang guru tetapi melihat potensi anak didik anda, Kebanyakan guru, masuk ke kelas untuk mengajar sudah meletakkan tanggapan atau melabelkan pelajar mereka dengan istilah pandai, tak pandai, malas, rajin, bodoh dan sebagainya. dan ianya pula diikuti dengan mencari kesalahan pelajar mereka dengan pelbagai rungutan, kritikan, dendaan dan leteran.Cuba anda ubah corak komunikasi yang anda amalkan dahulu kepada melihat bahawa setiap pelajar semuanya berpotensi untuk berjaya. Ubah persepsi anda bahawa kejayaan bukan semata-mata kejayaan dalam bidang akademik kerana istilah kejayaan itu juga adalah luas dan ingat bahawa setiap anak adam yang dilahirkan ke muka bumi ini adalah yang terbaik dan tugas anda adalah membawa mereka ke jalan yang benar.


Pastinya di sekolah anda melihat pelbagai karenah yang negatif yang menyakitkan hati anda, bersabar dan jangan sekali-kali mengeluarkan perkataan yang negatif, lihat potensi pelajar tersebut dari pelbagai sudut. Contohnya jika pelajar sering tidak membuat kerja rumah, gunakan teguran yang bersifat positif seperti ” Ali anda sebenarnya pandai dan cikgu pasti jika anda usaha lebih sedikit anda pasti akan berjaya. Cikgu sedia membantu bila-bila masa Ali perlukan, Cikgu ingin mambantu Ali tapi jika cikgu seorang susah sikit, boleh tak kita sama sama cari jalan bagaimana hendak meningkatkan prestasi Ali dalam pelajaran. Ali ada apa-apa cadangan?” Jangan cuba membuat teguran bersifat negatif pasti akan mendatangkan kebencian pelajar tersebut kepada anda dan akibatkan perhubungan anda dan mereka akan bersifat perhubungan yang negatif dan menghalang semua maklumat dan pengetahuan yang anda sampaikan menyerap dalam diri pelajar. Ada peluang puji pelajar anda walaupun anda tahu dia seorang pelajar yang nakal, cuba cari potensi yang ada pada diri pelajar tersebut dan mulakan dengan pujian, Anda akan lihat hasilnya dalam masa kurang dalam satu bulan, pelajar yang jarang buat kerja rumah, ada masalah disiplin, masalah sosial dan masalah ponteng pasti akan menjadikan anda sebagai kawan rapat. Dari situ setiap apa yang anda katakan tentu akan diikutinya.

Wednesday, November 7, 2007

Guru Pendidikan Islam ikuti program latihan



GURU Pendidikan Islam akan mengikuti beberapa program latihan bagi menyiapkan mereka dengan kehendak semakan semula kurikulum Pendidikan Islam.
Kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, kehendak semakan itu banyak menjurus kepada pembangunan modal insan yang berteraskan Islam Hadhari.
Walau bagaimanapun, beliau menolak sebarang isu yang mengaitkan kononnya semakan semula itu menunjukkan kurikulum yang sedia ada tidak mencukupi dan lemah.
``Saya tidak melihatnya sedemikian rupa,'' tegas beliau kepada Utusan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.
Bagi beliau, pendidikan adalah sesuatu yang bersifat dinamik, ``yang sering berubah dan diubah dengan tujuan penambahbaikan sesuai dengan keperluan dan kehendak masyarakat dan negara.''


Antara motif semakan semula itu, tegas Ketua Pengarah Pelajaran adalah untuk menjadikan Pendidikan Islam lebih efektif, terutamanya dari segi aplikasi dan penghayatan.
Pekara-perkara yang diliputinya ialah fungsi sebagai benteng keagamaan dan amalan nilai-nilai budaya bangsa, teori dan amalan, Fardu ain dan kifayah, bangsa dan negara, membina generasi Muslim yang kukuh iman, memahami tuntutan Fardu Kifayah, sentiasa berbakti kepada agama, bangsa dan negara serta berakhlak mulia.


Sebab itulah, tegas Alimuddin, guru Pendidikan Islam perlu dilatih semula bagi memastikan matlamat pembinaan suatu tamadun dan peradaban dapat dicapai.
Menurut beliau, penekanan khusus perlu diberikan terhadap orientasi baru, serta aspek kaedah pengajaran dan penyampaian supaya berupaya membentuk guru Pendidikan Islam yang berketrampilan dan mampu menggunakan strategi pemasaran yang betul dalam memasarkan produk pendidikan.


``Teori-teori dalam pengajaran dan pembelajaran ini perlu dikuasai juga pendidikan yang mengajar Pendidikan Islam,'' katanya.
Bukan setakat itu sahaja, katanya, malah persekitaran yang menggalakkan budaya penyelidikan dan kreatif perlu diwujudkan dan dieksploitasi sepenuhnya.
``Masyarakat juga perlu terlibat dalam pendidikan anak-anak di peringkat sekolah hinggalah ke peringkat menengah,'' ujarnya.
Katanya, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan serta memperkasa Sekolah Kebangsaan sebenarnya relevan dengan peranan dan fungsi guru mata pelajaran Pendidikan Islam bagi memartabatkan pelaksanaan kurikulum Pendidikan Islam yang berasaskan pendekatan Islam Hadhari.
``Saya amat yakin hanya melalui Pendidikan Islam yang berkesan akan dapat memantapkan jati diri, komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara,'' ujar Alimuddin.

Tuesday, November 6, 2007

Pendidikan awal diberi tumpuan: TPM


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengajak semua pihak memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak kerana generasi seawal usia prasekolah adalah penentu nasib bangsa Melayu menjelang 2057. Merujuk kepada projek perintis Pusat Anak Permata Negara (Permata), Timbalan Perdana Menteri berkata, proses pendidikan terancang, generasi muda dengan kapasiti minda yang tinggi dan keperibadian unggul serta berdaya saing dapat dibentuk untuk menghadapi cabaran masa depan. Malah, katanya, beberapa negara maju mula mendedahkan kanak-kanak seawal usia dua tahun ke bawah dalam proses pendidikan yang terancang kerana menganggap ia penting untuk proses membangunkan insan walaupun teknik pembelajarannya lebih kepada konsep belajar adalah menyeronokkan.

"Pendidikan awal kanak-kanak adalah tindakan awal yang boleh menyokong hasrat menjadi negara dan bangsa Melayu maju satu kenyataan. "Tumpuan serius perlu diberikan kepada kelompok ini kerana mereka yang akan melangkau pada 2020 dan juga 2057," katanya selepas merasmikan Seminar Agenda Melayu 2057 Siri 1: Agenda Politik di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. Seminar sehari anjuran Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab Umno Luar Negara itu bagi menyahut cabaran Misi 2057 yang digariskan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan kesinambungan keunggulan bangsa dan negara diteruskan dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Sehubungan itu, Najib berkata, projek Permata yang memberi penekanan kepada dasar asuhan dan didikan awal kanak-kanak wajar diperhebatkan kerana yakin ia berkesan untuk melahirkan generasi pelapis berkualiti dari segi pencapaian dan perkembangan minda. Permata yang diterajui Datin Seri Rosmah Mansor dilaksanakan di Chini, Putrajaya, Subang Jaya, Mempaga dan Kepala Batas cuba mencungkil kreativiti kanak-kanak, selain membina personaliti, mendorong minat, merangsang minda, mahir berinteraksi, mahir dalam aspek sosial dan gembira belajar.
Selain itu, Najib juga menasihatkan orang Melayu sentiasa mengutamakan pendidikan dengan melabur dan membiayai pendidikan awal kanak-kanak sebelum memasuki sistem pendidikan disediakan kerajaan. Katanya, tidak dinafikan pencapaian pendidikan orang Melayu hebat, tetapi sebenarnya belum benar-benar cemerlang kerana terlalu bergantung kepada kerajaan, bermula dari sistem, asrama, buku teks dan pinjaman pendidikan.
Beliau juga memaklumkan mengenai usaha untuk proses peremajaan Umno bagi memastikan parti itu tetap diminati, diterima dan kekal relevan untuk generasi muda masa kini dan akan datang. "Usaha peremajaan Umno penting kerana sebagai parti politik yang sudah lama berkuasa, kita mesti menyegarkan imej supaya Umno dilihat sebagai parti yang sentiasa dinamik, relevan dan sanggup melalui proses pengukuhan daripada semasa ke semasa," katanya.
Mengenai bangsa Melayu, Najib berkata, perubahan sikap dan minda adalah aspek penting untuk mencapai status maju, seiring status negara maju menjelang Wawasan 2020. "Untuk sampai ke 2057, Melayu perlu progresif dan menolak budaya negatif dengan melalui transformasi dan boleh bersaing dengan bangsa lain kerana tanpa budaya dan jati diri yang mantap tidak mungkin bangsa Melayu boleh berjaya," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20071104231408/Article/index_html

my new blog....hehehe

sory la kepada kekawan....mungkin ada hikmah kot....
 

© New Blogger Templates | Tech Blog