Friday, November 16, 2007

Murid 5A UPSR meningkat


Oleh Azrina Ahzan, Shaarani Ismail dan Asrol Awang


PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 yang dikeluarkan semalam, mencatat peningkatan dari segi bilangan calon yang memperoleh 5A dan lulus semua mata pelajaran. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang berpuas hati dengan prestasi calon UPSR tahun ini, berkata keputusan itu mencerminkan kejayaan program melahirkan modal insan yang diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) serta Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).


"Saya berharap pencapaian ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementeriannya di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang; Setiausaha Parlimen, P Komala Dewi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom. Keputusan UPSR 2007 diperoleh calon di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi semalam. Bagaimanapun, analisis keputusan dan peratusan kelulusan serta senarai pelajar cemerlang akan diumumkan hari ini.


Seramai 511,519 calon menduduki peperiksaan itu dari 3 hingga 5 September lalu di 8,812 pusat peperiksaan di seluruh negara. Hishammuddin berkata, keputusan UPSR itu juga membuktikan tidak wujud kebocoran soalan peperiksaan seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak sebelum ini. "Jika dilihat dari segi grafnya, sekiranya ada soalan bocor, kita dapat lihat dari segi keputusannya dan jelas daripada taklimat yang saya terima, tidak wujud kebocoran," katanya. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Terengganu yang mencatat keputusan terbaik dalam UPSR.


Pada sidang media itu, Hishammuddin juga mengumumkan kementerian akan mewujudkan talian hotline dan faksimili mulai Isnin ini khusus untuk ibu bapa menyalurkan sebarang isu atau masalah berhubung pelajaran anak-anak mereka. "Mereka yang tidak berpuas hati dengan bayaran tambahan, isu beg berat, jadual sekolah atau pandangan berkaitan masa peperiksaan, boleh menyalurkannya menerusi talian itu supaya tiada perkara yang boleh menjejaskan fokus ibu bapa membuat persiapan anak-anak ke sekolah," katanya. Hishammuddin berkata, kementerian juga bercadang mewujudkan Kelab Roket dan Angkasa di semua sekolah bagi menyemai minat pelajar dalam bidang sains dan angkasa. Sementara itu, Pengarah Pelajaran Terengganu, Arifin Embong, berkata berdasarkan maklumat awal yang diterimanya, kira-kira 4,000 atau 17 peratus daripada 24,127 calon UPSR di negeri itu memperoleh 5A, berbanding 12.3 peratus tahun lalu. Beliau berkata, Jabatan Pelajaran negeri menetapkan sasaran 15 peratus murid memperoleh semua A dan pencapaian 17 peratus itu sangat membanggakan.


"Hampir semua sekolah mencatat peningkatan dari segi kelulusan atau pencapaian 5A," katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Bariah di Kuala Terengganu. Sekolah berkenaan adalah antara sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang apabila 41 muridnya memperoleh 5A, meningkat hampir 60 peratus berbanding 28 tahun lalu. Di KUANTAN, Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Aziz Abdul Latif, berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap muncul sekolah paling ramai murid memperoleh keputusan cemerlang 5A di Pahang tahun ini. Abdul Aziz berkata, 82 daripada 321 calon UPSR sekolah berkenaan memperoleh 5A, manakala 35 murid mendapat 4A 1B.

No comments:

 

© New Blogger Templates | Tech Blog