Tuesday, November 6, 2007

Pendidikan awal diberi tumpuan: TPM


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengajak semua pihak memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak kerana generasi seawal usia prasekolah adalah penentu nasib bangsa Melayu menjelang 2057. Merujuk kepada projek perintis Pusat Anak Permata Negara (Permata), Timbalan Perdana Menteri berkata, proses pendidikan terancang, generasi muda dengan kapasiti minda yang tinggi dan keperibadian unggul serta berdaya saing dapat dibentuk untuk menghadapi cabaran masa depan. Malah, katanya, beberapa negara maju mula mendedahkan kanak-kanak seawal usia dua tahun ke bawah dalam proses pendidikan yang terancang kerana menganggap ia penting untuk proses membangunkan insan walaupun teknik pembelajarannya lebih kepada konsep belajar adalah menyeronokkan.

"Pendidikan awal kanak-kanak adalah tindakan awal yang boleh menyokong hasrat menjadi negara dan bangsa Melayu maju satu kenyataan. "Tumpuan serius perlu diberikan kepada kelompok ini kerana mereka yang akan melangkau pada 2020 dan juga 2057," katanya selepas merasmikan Seminar Agenda Melayu 2057 Siri 1: Agenda Politik di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. Seminar sehari anjuran Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab Umno Luar Negara itu bagi menyahut cabaran Misi 2057 yang digariskan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan kesinambungan keunggulan bangsa dan negara diteruskan dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Sehubungan itu, Najib berkata, projek Permata yang memberi penekanan kepada dasar asuhan dan didikan awal kanak-kanak wajar diperhebatkan kerana yakin ia berkesan untuk melahirkan generasi pelapis berkualiti dari segi pencapaian dan perkembangan minda. Permata yang diterajui Datin Seri Rosmah Mansor dilaksanakan di Chini, Putrajaya, Subang Jaya, Mempaga dan Kepala Batas cuba mencungkil kreativiti kanak-kanak, selain membina personaliti, mendorong minat, merangsang minda, mahir berinteraksi, mahir dalam aspek sosial dan gembira belajar.
Selain itu, Najib juga menasihatkan orang Melayu sentiasa mengutamakan pendidikan dengan melabur dan membiayai pendidikan awal kanak-kanak sebelum memasuki sistem pendidikan disediakan kerajaan. Katanya, tidak dinafikan pencapaian pendidikan orang Melayu hebat, tetapi sebenarnya belum benar-benar cemerlang kerana terlalu bergantung kepada kerajaan, bermula dari sistem, asrama, buku teks dan pinjaman pendidikan.
Beliau juga memaklumkan mengenai usaha untuk proses peremajaan Umno bagi memastikan parti itu tetap diminati, diterima dan kekal relevan untuk generasi muda masa kini dan akan datang. "Usaha peremajaan Umno penting kerana sebagai parti politik yang sudah lama berkuasa, kita mesti menyegarkan imej supaya Umno dilihat sebagai parti yang sentiasa dinamik, relevan dan sanggup melalui proses pengukuhan daripada semasa ke semasa," katanya.
Mengenai bangsa Melayu, Najib berkata, perubahan sikap dan minda adalah aspek penting untuk mencapai status maju, seiring status negara maju menjelang Wawasan 2020. "Untuk sampai ke 2057, Melayu perlu progresif dan menolak budaya negatif dengan melalui transformasi dan boleh bersaing dengan bangsa lain kerana tanpa budaya dan jati diri yang mantap tidak mungkin bangsa Melayu boleh berjaya," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20071104231408/Article/index_html

No comments:

 

© New Blogger Templates | Tech Blog