Thursday, November 12, 2009

dilema guru berjauhan dengan keluarga

bismillahi arrahman arrahim....

jika membaca tajuk ini, sudah pasti ramai di kalangan guru atau pasangannya merupakan seorang guru, tersenyum pahit seakan-seakan tidak mahu senyum pun ada. Hari ini saya terbaca berita harian dalam ruangan surat pembaca mencoretkan dilema suami yang berjauhan dengan isterinya yang merupakan seorang guru, hanya mereka yang melalui pengalaman ini sahaja yang mengerti dilema yang di hadapi oleh si suami ini.

kepada mereka yang menghadapi dilema ini, bersabarlah, InsyaAllah ada pelbagai hikmah yang tersirat di sebaliknya yang tidak kita ketahui dan akan diketahui di kemudian hari. kepada mereka yang tidak menghadapi dilema ini, bersyukurlah.

Jika kita menggunakan 'kabel' untuk menjauhi dilema ini, fikir-fikirkanlah nasib rakan-rakan kita yang sebenarnya lebih berhak mendapat kesenangan itu berbanding kita.
Dan adakah kita dapat mengajar dan mendidik dengan sempurna jika menggukan hak orang lain demi kesenangan kita. Salahkanlah diri kita andainya anak didik kita menjadi bukan seperti yang kita kehendaki kerana ia sebenarnya bermula dari kita. fikir-fikirkanlah.............

Sunday, November 8, 2009

Sekolah satu aliran tak rugikan sesiapa


Oleh Tep Kok Seing


Ikatan perpaduan negara ini makin mantap apabila budaya dan agama antara kaum difahami, dihormati

DALAM masyarakat majmuk seperti Malaysia, pendidikan perlu dilihat sebagai lebih daripada mendidik anak-anak. Ia perlu dilihat sebagai kuasa yang mampu mewujudkan integrasi, khususnya perpaduan kaum. Dengan perkataan lain, pendidikan adalah penting sekali dalam pembentukan bangsa Malaysia.

Dalam konteks ini, tidak dapat dinafikan bahawa sekolah adalah institusi terbaik memupuk perpaduan dalam kalangan golongan muda.

Malaysia sentiasa sedar mengenai kepentingan sekolah dalam hal ini. Inilah juga aspirasi utama pada Penyata Razak (1956). Tetapi malangnya, hasrat semurni ini tidak mencukupi, kalau kita sebagai golongan tua tidak benar-benar berusaha ke arah itu.


Hari ini, golongan muda didapati tidak banyak bergaul dengan mereka daripada kelompok etnik lain dan lebih mudarat lagi, mereka tidak mempunyai keinginan untuk bergaul dalam konteks ini.

Ini antaranya disebabkan ibu bapa mereka menyekolahkan mereka di sekolah yang pelajarnya terdiri daripada hanya satu kelompok etnik.

Gejala tidak bergaul ini berlarutan sehingga ke institusi pengajian tinggi dan juga tempat kerja. Sehubungan itu, pada masa kini, polarisasi kaum dapat dilihat di mana-mana saja.

Sudah tiba masa dengan mengambil semangat konsep 1Malaysia, kita perkasakan peranan pemersatu pada sekolah dan institusi pengajian yang lain.

Dari segi pendidikan semata-mata, sekolah kita rata-ratanya berjaya menghasilkan pelajar yang bijak pandai tetapi apa ertinya anak kita pintar, kalau mereka tidak boleh bersatu.

Satu cara terbaik mengatasi masalah ini ialah dengan mengadakan sistem satu sekolah atau satu aliran. Ia terbukti lebih berjaya dalam pembentukan negara-bangsa mana-mana masyarakat mengamalkannya, lebih-lebih lagi dalam pembinaan jati diri nasional yang sama serta jelas sifat nasionalnya, dalam kalangan semua sektor masyarakat.

Liberalisasi dalam bidang pendidikan di negara ini, bukan saja membenarkan persekolahan vernakular dan agama, tetapi ikut meluluskan kewujudan sekolah swasta, sekolah antarabangsa (yang ikut dihadiri rakyat Malaysia) dan lain-lain.

Kita juga membenarkan anak-anak diajar secara persendirian di rumah, yang sudah tentu tidak memungkinkan pergaulan antara kaum wujud dalam bentuk yang unggul.

Sistem yang membenarkan pelbagai jenis persekolahan ini nampaknya tidak berjaya menyatukan kita semua.

Kita harus menerima hakikat ini untuk kepentingan negara, dan tidak boleh lagi mempertahankannya. Ini antaranya adalah kerana ia hanya memecahbelahkan kita semua.

Perpaduan perlu dipupuk pada usia yang muda, seperti kata pepatah Melayu, 'melentur buluh biar dari rebung'. Sewaktu di sekolah rendah lagi, anak-anak perlu bergaul dengan sebebas-bebasnya dan ini bukan saja untuk mengenali satu sama lain, tetapi yang lebih penting belajar menghormati dan mempercayai mereka yang berlainan bangsa dan agama.

Tidak seorang pun yang boleh memahami dan kemudian menerima untuk dihargai budaya, agama dan bahasa kelompok etnik lain, kalau dia tidak pernah mengenali kelompok berkenaan. Inilah yang dikatakan oleh pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.

Sehubungan ini, kita perlu terlebih dulu kenal-mengenali, sebelum elemen hubungan etnik lain berlaku secara positif dalam konteks perpaduan kaum di negara ini.

Justeru, bagaimanakah anak kita boleh mengenali, memahami dan menerima untuk dihargai pelbagai perbezaan yang wujud antara kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain, kalau mereka tidak pernah mempunyai peluang bergaul, lebih-lebih lagi pada usia muda.

Sesungguhnya, anak kecil ini boleh dengan cepat, bukan saja bergaul dengan baik, malah mampu memanfaatkan perbezaan antara mereka, untuk kebaikan bersama pada mulanya, dan kepentingan negara kemudiannya.

Malangnya, kita selaku golongan tua tidak mahu mewujudkan peluang ini pada peringkat sekolah rendah. Apabila bertemu di sekolah menengah, kebanyakan anak ini sudah pun membentuk pelbagai persepsi, sikap dan buruk sangka, terhadap mereka yang tidak sebangsa dan seagama dengan mereka.

Perasaan curiga-mencurigai yang kuat sudah pun tertanam dan sukar dikikis, akibat sistem yang lemah ini, selain ikut diracuni pemikiran tertutup daripada sesetengah golongan tua.

Ada anak kita yang tidak pun berpeluang bertemu dengan anak daripada kelompok etnik lain di sekolah menengah dan ini kerana mereka meneruskan persekolahan di puluhan sekolah persendirian di negara ini.

Ini berlaku pada anak Cina, yang kemudian ke China, Taiwan atau Hong Kong, untuk memperoleh pendidikan pengajian tinggi dalam bahasa Cina.

Golongan tua perlu menyedari bahawa sistem pelbagai sekolah ini, lebih-lebih lagi yang bersifat persendirian/swasta, tidak menyumbang kepada pembentukan negara-bangsa Malaysia, dalam banyak aspek. Malah sistem pelbagai sekolah ini memecahbelahkan negara.

Sehubungan itu, marilah kita mencari jalan terbaik dengan tekad baru 1Malaysia, untuk mewujudkan sistem satu sekolah, yang menggunakan bahasa kebangsaan kita sebagai satu-satunya bahasa pengantar, semata-mata untuk penyatuan generasi mendatang, dan sekali gus demi kepentingan negara.

Tugas ini tidak mudah seperti yang diakui oleh banyak pihak. Namun, ia boleh menjadi kenyataan, mungkin dalam waktu terdekat ini, seperti kata pepatah Melayu, 'nak seribu daya, tak nak seribu dalih'.

Kita boleh bermula dengan menerimanya, untuk diperhalusi kebaikan semua pihak, khususnya mengenai pendidikan bahasa ibunda yang dikhuatiri akan lenyap apabila dilaksanakan sistem satu sekolah.

Ia masih boleh diteruskan, bukan lagi dalam bentuk sekarang, tetapi dalam bentuk sebagai hanya satu subjek. Melalui cara ini, budaya dan warisan serta komponen sistem kepercayaan kaum tertentu, masih boleh dipertahankan dalam bentuk yang utuh.

Pengorbanan daripada pihak berkenaan dalam hal ini, bukan saja amat diperlukan, malah sangat disanjungi sepanjang sejarah Malaysia moden!. Mekanisme untuk sistem satu sekolah sudah ada, iaitu dalam bentuk ribuan sekolah kebangsaan di segenap pelosok negara.

Kita hanya perlu memanfaatkan sekolah ini agar ia bukan saja perkasa, tetapi menarik dari segi imej nasionalnya, untuk dihadiri oleh pelajar Cina dan India yang kebanyakannya belajar di sekolah vernakular, dan juga sebilangan pelajar Melayu yang memilih untuk menimba ilmu di sekolah agama.

Akhir kalam, semua pihak harus meyakini sistem satu sekolah ini sebagai hasrat murni lagi khalis, untuk menyatukan anak kita demi pembentukan bangsa Malaysia yang betul-betul bersatu, dalam Malaysia menghadapi pelbagai cabaran, khususnya dari luar. Ia bukan sekali-kali niat buruk mana-mana pihak untuk melenyapkan budaya, agama dan bahasa kelompok etnik tertentu.

Penulis ialah Felo Penyelidik Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.
sumber: berita harian

Thursday, November 5, 2009

wajarkah ujian INSak

pengalaman menduduki ujian ini merupakan suatu yang mendebarkan kerana bakal menetukan sama ada dapat menempuh profesion perguruan atau tidak. terdapat 135 soalan yang perlu di jawab dalam tempoh 30 minit....alhamdulillah sempat juga menghabiskan 135 soalan tersebut tanpa mengubah jawapan yang telah di bulatkan...

tetapi apabila difikirkan wajarkah ujian ini di adakan???jika gagal secara tidak langsung telah menafikan seoarang yang mempunyai ijazah pendidikan yang mana diperolehi setelah 4 tahun memerah keringat bagi mencapai segulung ijazah tersebut.

fikir-fikirkanlah.....
 

© New Blogger Templates | Tech Blog