Wednesday, April 2, 2008

Jadual baru PMR 2008

Oleh Abdul Razak Raaff

Tarikh ambil kira aspek pengurusan, bantahan pelbagai pihak

PUTRAJAYA: Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) semalam mengumumkan jadual baru peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 yang disatukan kepada 13 hingga 17 Oktober depan, berbanding tarikh asal 13,14,15 Oktober dan 4,5 November.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata keputusan jadual peperiksaan PMR itu diubah selepas mengambil kira kebimbangan, keprihatinan dan pandangan pelbagai pihak mengenai jadual waktu berperingkat peperiksaan yang dicadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia sebelum ini.

Katanya, jadual baru PMR yang dianjakkan kebelakang pada minggu ketiga Oktober berbanding 1 hingga 5 Oktober pada tahun lalu, diputuskan selepas kajian semula LPM bersama pegawai kanan peperiksaan dan penilaian negeri.

"Tarikh baru bagi peperiksaan PMR 2008 dibuat bagi menjaga keselamatan, kelancaran, urusan dan kebolehpercayaan pengendalian peperiksaan.

"Penyusunan semula tarikh peperiksaan tahun ini juga sudah mengambil kira aspek pengurusan dan profesional serta membabitkan banyak pihak terutama berkaitan percetakan, pengedaran, penyimpanan kertas soalan dan skrip jawapan, pemeriksaan, pemprosesan data, penentuan standard serta pengumuman keputusan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini, pelbagai pihak membantah tarikh asal peperiksaan PMR 2008 kerana jarak masa antara 13,14 dan 15 Oktober dengan 4 dan 5 November adalah terlalu panjang iaitu selama 19 hari dan ibu bapa bimbang ia boleh mengganggu fokus pelajar.

Alimuddin berkata, tarikh peperiksaan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun ini kekal seperti diumumkan sebelum ini.

Katanya, tarikh peperiksaan UPSR 2008 ialah dari 9 hingga 11 September depan; SPM 2008 dari 12 November hingga 6 Disember; dan STAM 2008 pada 20, 22 dan 28, 29 Oktober.

Tahun lalu, peperiksaan itu masing-masing diadakan dari 3 hingga 5 September (UPSR), dari 12 November hingga 6 Disember (SPM), dan pada 22,23,25,29 dan 30 Oktober (STAM).
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20080401233758/Article/

No comments:

 

© New Blogger Templates | Tech Blog