Tuesday, April 22, 2008

Anak penoreh getah graduan cemerlang


KEPALA BATAS 21 April - Berbekalkan kesedaran dia hanyalah anak penoreh getah yang miskin, Norsuliza Mohd. Yunus, membuktikan dia juga boleh berjaya dan menggenggam Anugerah Pelajar Cemerlang Politeknik Seberang Perai (PSP) hari ini.

Norsuliza, 22, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, adalah salah seorang daripada penerima anugerah berkenaan sempena Majlis Konvokesyen Kelapan PSP di Dewan Milennium, di sini.

Beliau yang kematian bapa ketika berumur sembilan tahun, menyifatkan kejayaan itu sebagai pembakar semangat kepadanya untuk berusaha lebih kuat bagi merealisasikan cita-cita menjadi seorang pensyarah.

"Saya sedang memohon untuk menyambung pelajaran dan berharap kejayaan ini akan membuka laluan kepada saya untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana seterusnya bergelar pensyarah," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Menyingkap perjalanan hidupnya, Norsuliza yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik berkata, sejak pemergian arwah ayah, tugas ketua keluarga dipikul oleh ibunya, Badariah Omar, 49, bekerja sebagai penoreh getah.

Anak kelahiran Bentong, Pahang itu berkata, kesusahan yang ditanggung ibunya banyak mengajar dirinya mengenal erti hidup dan dia mula memasang impian untuk mengubah nasib keluarganya suatu hari nanti.

"Dulu saya biasa bantu mak (menoreh getah) dan saya dapat rasa keperitan yang ditanggungnya, semangat dan ketabahannya menguatkan lagi azam untuk berjaya serta bantu keluarga suatu hari nanti," katanya.

Selain Norsuliza, turut menerima anugerah sama pada majlis tersebut ialah seorang lagi graduan Pengajian Perniagaan (Pengurusan), Imaan Hamzah, 22.

No comments:

 

© New Blogger Templates | Tech Blog