Friday, January 25, 2008

Miskin bukan lagi alasan tak aktif unit beruniform

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Sekolah perlu pastikan semua pelajar utama kegiatan kokurikulum

PIHAK pengurusan sekolah dan guru penasihat harus memastikan penyertaan penuh pelajar dalam pasukan badan beruniform serta mengambil bahagian secara aktif setiap kegiatan dijalankan. Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir, berkata tidak wajar lagi berbangkit isu kurang mampu menyediakan keperluan pakaian seragam sebagai alasan untuk pelajar mengelakkan pembabitan dalam kegiatan itu.

Katanya, ini selaras peruntukan bantuan pakaian seragam (BPS) bagi pasukan badan beruniform di sekolah seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam Bajet 2008.

Mulai tahun ini, beliau berkata, kerajaan bersetuju memberi bantuan berkenaan kepada pelajar yang ibu bapa atau penjaganya berpendapatan RM1,000 sebulan dan kurang. “Justeru, diharapkan semua pelajar bukan saja akan menyertai tetapi bergiat aktif dalam pasukan badan beruniform yang menjadi salah satu kegiatan kokurikulum diwajibkan selain kelab/persatuan dan sukan/permainan.

“Menerusi aktiviti terbabit, pelajar diterapkan nilai positif seperti berdisiplin, bersemangat patriotik, kerjasama berpasukan dan integrasi kaum. “Selain itu, pihak ibu bapa turut diharap memberi sokongan serta galakan kepada anak supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang menimba pelbagai pendedahan dan pengalaman berguna menerusi kegiatan berkenaan.

“Manakala pihak pengurusan sekolah serta guru penasihat pula perlu memastikan pengisian program benar-benar menarik dan berfaedah dalam kegiatan pasukan badan beruniform masing-masing. “Antara satu komponen aktiviti harus diberi keutamaan ialah program khidmat masyarakat yang akan mempertingkat kesedaran pelajar terhadap kepentingan sikap prihatin dan saling membantu dalam kehidupan harian,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.

Berdasarkan surat pekeliling bertarikh 7 Januari lalu yang diedarkan ke semua Jabatan Pelajaran Negeri, pelajar layak menerima BPS tertakluk kepada syarat pendapatan ibu bapa atau penjaga RM1,000 sebulan dan kurang; pelajar berada di sekolah rendah (tahap dua) dan menengah (kelas peralihan hingga Tingkatan Lima).

Seterusnya, kadar bantuan untuk seorang pelajar tidak melebihi RM100 serta terhad kepada satu pasukan badan beruniform saja. Pelajar yang menerima BPS layak menerima penggantian pakaian seragam setiap dua tahun sekali tetapi bagi kes pakaian rosak dan terlalu sendat sebelum tempoh terbabit layak diberi pertimbangan gantian oleh pihak sekolah.

Laporan akhbar baru-baru ini memetik Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, sebagai berkata seramai 1.8 juta daripada 5.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan mendapat BPS pasukan badan beruniform membabitkan kos penyediaan bernilai RM188 juta bagi sesi persekolahan tahun ini.

Ketika ini, Zulkifly berkata, tujuh jenis aktiviti pasukan badan beruniform disediakan pada peringkat sekolah rendah meliputi Persatuan Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Pergerakan Puteri Islam Malaysia, Persatuan St John Ambulans Malaysia, Tunas Puteri, Tunas Kadet Remaja Sekolah dan Pancaragam.

Beliau berkata, pelajar sekolah menengah pula diperuntukkan 14 aktiviti pilihan, antaranya Kadet Pertahanan Awam, Kadet Polis, Kadet Trafik Sekolah, Persatuan Pengakap, Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (Udara), PBSM dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Selain itu, katanya, Kadet Correctional diperkenalkan secara rintis dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia ke beberapa sekolah menengah di negeri yang mempunyai penjara, sejak tahun lalu. Setakat ini, sebuah sekolah terpilih di setiap negeri berkenaan. “Perkembangan ini secara langsung mempelbagaikan lagi aktiviti pasukan badan beruniform di sekolah.

Menerusi kegiatan kokurikulum ini, guru penasihat perlu mengambil inisiatif mencungkil bakat pelajar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Pendidikan/20080125074230/Article/index_html

1 comment:

Sinar Mawad'dah said...

thanks info ni...sgt2 berguna utk assigment sy..trima kasih....semoga berjaya menjadi pendidik yg berjaya mendidik anak bangsa...

 

© New Blogger Templates | Tech Blog