Monday, January 5, 2009

Hassan Ahmad sedia pimpin himpunan 'selamatkan BM'



Datuk Dr Hassan Ahmad menyatakan kesediaanya memimpin Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu - yang merancang mengadakan perhimpunan besar ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) - bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaraan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kalau tidak ada orang (tokoh lain), bolehlah," kata tokoh pejuang bahasa itu, yang juga bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bagaimanapun, tambah Dr Hassan, butiran lanjut bantahan sekretariat itu, serta jawatan rasmi beliau dalam sekretariat itu belum diputuskan.

Beliau menambah, keputusan berhubung kedua-dua perkara itu bergantung kepada hasil pertemuan sulungnya dengan jawatankuasa pelaksananya - yang dikepalai pengarahnya Hasni Abas - Rabu depan.

Penghujung bulan lalu, sekumpulan NGO Melayu dan parti pembangkang sepakat menganjurkan demonstrasi besar - digelar "Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu" - bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Hasni Jumaat lalu berkata, memorandum tersebut antaranya, memohon campur tangan baginda sebagai ketua negara bagi mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dua subjek itu.

Umno harus sokong

Sementara itu, Dr Hassan ketika diminta mengulas pelaksanaan dasar kontroversi yang diperkenalkan tujuh tahun lalu itu berkata:

"Saya ini sudah menyampah. (Kerajaan) timbulkan masalah... kerajaan pandai buat masalah tetapi tidak pandai selesai masalah," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Dulu semasa keputusan (memperkenalkan PPSMI) dibuat, tidak minta pandangan orang lain."

Mengulas lanjut, beliau yang juga pengerusi Yayasan Karyawan berkata, desakan bagi memansuhkan PPSMI "harus datang dari dalam Umno" sebagai parti terbesar orang Melayu dalam gabungan BN.

Tambahnya, sekarang merupakan masa yang tepat untuk menyuarakannya bantahan itu memandangkang pemilihan agung parti itu (Mac depan) hanya tinggal dua bulan lagi.

Dr Hassan turut menyuarakan rasa kecewanya kerana dalam Umno sekarang ini, banyak pemimpin dan ahli-ahlinya, lebih bersikap mengikut sahaja keputusan yang dibuat.

Pertemuan esok

Parti-parti pembangkang juga digesa lebih aktif menyuarakan bantahan itu.

"Kalau PAS (membantah), kuat suaranya. Kalau PKR bersuara, kuat," kata Dr Hassan.

Hasni ketika dihubungi, mengesahkan pertemuan beliau dengan Dr Hassan bagi membincangkan bantahan terhadap pelaksanaan PPSMI.
Menurutnya lagi, pertemuan itu yang asalnya dijadualkan esok, terpaksa ditunda ke hari Khamis depan memandangkan ada ahli jawatankuasa yang tidak dapat hadir pada masa yang telah ditetapkan.

Mengulas perkembangan terkini penyertaan terhadap kempen itu, Husni berkata, 13 NGO dan sayap Pemuda pembangkang - PAS dan PKR - telah pun menyatakan kesediaan mereka terlibat dalam bantahan itu.

NGO terbabit, antaranya, Kesatuan pekerja DBP,Persatuan Linguistik Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia dan Angkatan Sains Islam Malaysia (Asasi)
sumber:Malaysiakini

Thursday, January 1, 2009

SMKA Kedah catat keputusan cemerlang PMR

Oleh Samsudin Oli Mohamed

BERKAT usaha dan kesungguhan tak mengenal jemu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Alor Star mencatat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008.

Dengan pencapaian pelajar 100 peratus lulus dan seramai 51 mendapat 9A dalam peperiksaan itu, SMKA Kedah berjaya menempatkan diri dalam kelompok elit di negeri itu serta mencatat sejarah tersendiri. Malah, kebanyakan pendidik di sekolah berkenaan tidak menyangka dengan kejayaan dicapai itu.

Lebih manis, kejayaan tersebut dikongsi bersama Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Shahidan Abdul Rahman yang telah menyampaikan sendiri slip peperiksaan kepada pelajar cemerlang di sekolah berkenaan.

Terdahulu ucapannya, Shahidan, mengucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang, sekali gus menaikkan imej sekolah.

Sambil memuji sumbangan dan pengorbanan guru serta ibu bapa, Shahidan, berkata lonjakan dalam PMR adalah tanda positif dalam bidang pendidikan di negeri itu.

Salah seorang pelajar, Mohd Faiz Mokhtar Kamal, mengucapkan rasa syukur kerana berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
“Saya percaya hanya usaha gigih dan berterusan saja mampu membantunya mencapai kejayaan manis tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ummi Hazwani Ishar, berkata keputusan yang diperoleh sudah dijangka berdasarkan ujian percubaan yang diduduki sebelum ini.

Ditemani keluarganya, Ummi mengucapkan terima kasih kepada guru kerana banyak membantu mencapai keputusan yang diperoleh itu.
sumber :http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Pendidikan/20090101081001/Article/index_html

Tuesday, December 16, 2008

Transformasi sistem pendidikan bentuk generasi serba boleh

TRANSFORMASI sistem pendidikan yang bermula pada peringkat sekolah rendah dengan memberi penekanan kepada latihan amali menerusi pengenalan subjek baru mulai 2010, dijangka mampu membentuk generasi yang bukan saja berupaya menguasai akademik, malah mempunyai sahsiah diri cemerlang. Langkah Kementerian Pelajaran memperkenalkan kurikulum baru bagi menggantikan subjek yang selama ini berteraskan 'mengejar kejayaan akademik melalui peperiksaan' wajar disokong. Kita tidak boleh terus memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan akademik semata-mata, sedangkan pada usia berkenaan pelajar perlu dipupuk dengan kaedah pengembangan mental dan fizikal yang seimbang.

Tumpuan berlebihan untuk mengejar kejayaan akademik semata-mata, terutama ketika di sekolah rendah boleh mengundang padah dan kita tidak mahu melahirkan tenaga manusia berbentuk robot yang hanya melakukan sesuatu mengikut arahan diberikan. Pada usia kanak-kanak di bawah 12 tahun, kaedah pembelajaran dan pengajaran perlu lebih bercorak mudah, menyeronokkan dan berpengetahuan yang dapat memberi ruang dan peluang kepada pelajar membentuk keyakinan dan penguasaan diri. Tidak hairanlah, ilmu komunikasi dan subjek berteraskan kesenian, termasuk drama dan tarian yang dicadang bakal diperkenalkan pada 2010 dapat membentuk sahsiah murid, sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah.

Usaha kementerian memperkenalkan subjek baru yang bercorak praktikal seperti dibayangkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom akan membolehkan penilaian kebolehan pelajar dilakukan lebih menyeluruh dan adil serta tidak berdasarkan markah peperiksaan semata-mata. Malah, kaedah penilaian mengikut gred kumulatif atau sistem pengumpulan mata seperti yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi yang dicadangkan juga boleh membantu pelajar. Jika selama ini, penilaian dilakukan melalui Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diadakan selepas enam tahun belajar, kaedah penilaian menerusi gred kumulatif pula dilakukan sepanjang enam tahun bersekolah. Ini akan membolehkan guru menilai tahap kemajuan pelajar mereka setiap tahun dan bertindak segera membaiki dan mengatasi sebarang kekurangan yang ada di kalangan anak murid mereka. Dalam pada itu, ibu bapa juga dapat melihat perkembangan pelajaran dan diri anak mereka untuk tempoh enam tahun, tidak lagi melalui tindakan menghantar ke kelas tuisyen bagi peperiksaan UPSR.

Kita yakin jika transformasi sistem pendidikan dilakukan secara berhemah dan tertib dengan niat untuk melahirkan generasi yang bakal mengekalkan kecemerlangan kemajuan negara, ia akan berjaya. Semua pihak termasuk masyarakat perlu digandingkan bersama bagi memberi input supaya perubahan sistem yang bakal dilakukan nanti tidak dipertikaikan keupayaannya. Dalam pada itu, pendidik yang bakal melaksanakan transformasi sistem itu juga perlu bersedia mulai sekarang untuk berubah, terutama dari segi minda bagi memastikan sistem ini berjaya apabila dilaksanakan nanti.
sumber(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Rencana/20081215230152/Article/index_html)

Thursday, November 13, 2008

Bahasa Melayu dicabar lagi



Kejayaannya sebagai wahana perpaduan rakyat Malaysia diperlekeh

BAHASA Melayu terus dihambat masalah, seolah-olah bahasa yang tidak bermaruah meskipun kedudukannya diperakukan dalam Perlembagaan Negara melalui Fasal 152, Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].

Selepas haknya sebagai bahasa ilmu untuk pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dinafikan bermula 2003, kedudukannya kini diperkotak-katikkan lagi apabila kertas Lukisan peperiksaan SPM diterjemahkan ke bahasa Mandarin dan Tamil.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong, dilaporkan dalam The New Sunday Times bertarikh 30 Oktober lalu sebagai berkata: “Kertas Lukisan peperiksaan SPM akan diterjemahkan ke bahasa Mandarin dan Tamil pada tahun ini kerana pelajar di 65 Sekolah Menengah Cina di Melaka gempar menerima kertas terbabit ekoran tidak memahami bahasa Melayu.”

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin, kesal dengan tindakan terbabit dan menyifatkan senario pelajar tidak berupaya memahami soalan dalam bahasa Melayu sebagai memalukan, memandangkan mereka dilahir dan dibesarkan di negara ini.

“PLM menolak alasan itu memandangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara ini dan termaktub dalam perlembagaan sejak merdeka. Mereka sudah terdedah pada bahasa itu sejak lahir. Bahasa ini turut diajarkan di sekolah.

“Adakah penterjemahan kertas Lukisan melengkapkan lagi pelenyapan penggunaan bahasa Melayu di sekolah vernakular dan sekali gus menjauhkan usaha menguasai bahasa kebangsaan?,” tegasnya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Sastera melalui e-mel, baru-baru ini.

Beliau meminta Kementerian Pelajaran segera menangani sikap mengabaikan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan agar fenomena itu tidak berlarutan dan memastikan arahan menggunakan bahasa Melayu bagi mata pelajaran yang sudah dikenal pasti dilaksanakan secara serius.

“Kementerian pelajaran sewajarnya berasa lebih ngeri dengan tragedi ini berbanding kegagalan pelajaran menguasai bahasa Inggeris kerana bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan dan kebangsaan untuk semua rakyat Malaysia,” tegasnya.

Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, senada dengan LPM apabila melihat perkara terbabit tidak sepatutnya berlaku khususnya kepada generasi negara ini yang lahir selepas merdeka.

“Tidak ada alasan untuk tidak memahaminya apalagi pelajar kerana sebagai warganegara dan tinggal di negara ini serta terdedah kepada bahasa terbabit melalui sistem pendidikan, mereka perlu menguasainya,” katanya ketika dihubungi Sastera.

Baginya, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara ini mempunyai korpus yang lengkap dan dari segi linguistik kemampuannya setara dengan bahasa Inggeris kerana ia sudah dibangunkan dengan elok oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Kita gunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran di sekolah bukan kerana ia bahasa rasmi dan kebangsaan mahupun korpusnya, tetapi kerana sudah terbukti fungsinya sebagai bahasa perpaduan rakyat negara ini sejak sekian lama,” tegasnya.

Selain itu, langkah menterjemahkan kertas peperiksaan subjek terbabit turut dilihat menunjukkan pelajar tidak menguasai bahasa terbabit ketika di sekolah rendah dan belajar semata-mata untuk lulus peperiksaan di samping tiada usaha untuk mengenal budaya di sebalik bahasa yang dipelajari.

“Saya tidak boleh bayangkan bagaimana perkara sedemikian berlaku di negara yang kuasa politik Melayu dominan. Kesan kegagalan memahami bahasa Melayu hanya dapat dilihat selepas satu generasi dan masalah akan timbul kelak,” ujarnya.

Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nor Hisham Osman, pula berpendapat calon dari sekolah swasta dan separa bantuan kerajaan yang mahu menduduki peperiksaan awam perlu mematuhi sistem yang sudah ditetapkan.

“Jika enggan patuh, sekolah sepatutnya memastikan calon mereka mengambil peperiksaan yang sijilnya diiktiraf di seluruh dunia sesuai dengan bahasa pengantar pilihan masing-masing dan bukannya sistem pendidikan disesuaikan untuk memenuhi keperluan mereka,” tegasnya.

Baginya sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai pengantar tidak sepatutnya wujud lagi selepas 51 tahun Malaysia merdeka dan kerana itu penting setiap warganegara Malaysia mesti mengetahui sejarah dan bahasa rasmi negara.

“Ini masalahnya apabila rakyat negara ini memilih sekolah jenis kebangsaan. Mereka tidak tahu sejarah negara dan bahasa rasmi negara ini sedangkan kedua-dua perkara ini penting sebagai seorang warganegara,” jelasnya.

Dr Nor Hisham turut melihat kehadiran sekolah antarabangsa yang semakin menjadi tren masa kini di negara ini dengan pelajarnya di kalangan anak tempatan pelbagai bangsa akan melahirkan lebih ramai pelajar yang tidak menghargai sejarah negara dan bahasa Melayu.

“Dahulu sekolah ini khusus untuk anak kalangan ekspatriat dan kedutaan luar. Penyediaan sekolah sedemikian bertujuan membolehkan anak mereka menduduki peperiksaan dengan pengiktirafan antarabangsa. Kini semakin ramai anak Melayu, Cina dan India dihantar ke sekolah sedemikian,” ujarnya.
sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20081113075250/Article
 

© New Blogger Templates | Tech Blog