Friday, May 29, 2009

Beri biasiswa kepada yang perlu bukan kecemerlangan semata-mata

KUALA LUMPUR 28 Mei - Kerajaan perlu memperuntukkan dana biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar Melayu dan bumiputera yang memerlukan dan bukan hanya berasaskan kecemerlangan akademik.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, gesaan itu selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan mengimbangi perkembangan pelajar mengikut status keluarga dan potensi mengejar kecemerlangan tetapi terbatas kemampuannya.

Menurut beliau, tuntutan berkenaan bagi memenuhi keluhuran perlembagaan dan bukannya untuk tidak berlaku adil kepada mana-mana pihak.

"Pada masa sama, kerajaan dicadang supaya menubuhkan sebuah dana baru yang bertujuan menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar berasaskan kecemerlangan dalam peperiksaan tanpa mengira kaum, kedudukan atau tempat tinggal, dengan mengamalkan kriteria yang telus dan adil," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia mencadangkan supaya biasiswa kerajaan itu diberi kepada pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum dan ia telah mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.

sumber: utusan

Tuesday, May 19, 2009


selamat hari Guru...16 MEI( tiap2 hari adalah hari guru sebenarnya)

Kementerian Pelajaran diminta jangan pilih perokok jadi guru


SEMPENA Hari Guru pada 16 Mei lalu, Kementerian Pelajaran diminta melakukan tapisan kepada bakal-bakal guru yang menghadiri ujian bertulis dan temu duga bagi mengelak dari memilih mereka yang kaki rokok menjadi guru.

Tapisan ini penting bagi memastikan hanya mereka yang bersih dari gejala ini dipilih menjadi guru dan patuh kepada arahan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Kerajaan patut memandang serius terhadap tabiat merokok di kalangan bakal-bakal guru agar tidak menambah bilangan perokok di kalangan guru yang sedia ada.

Guru mesti menjadi contoh dan idola kepada pelajar. Oleh itu guru mesti menjadi teladan iaitu jangan sesekali merokok. Jangan sampai peribahasa 'Kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari' terjadi.

Kesihatan amat penting. Ia tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk mendidik pelajar agar menjauhi rokok dan menjalani gaya hidup yang sihat.

Merokok merbahayakan kesihatan dan merupakan antara penyebab kematian kepada lima juta manusia setiap tahun. Laporan kesihatan sedunia mendedahkan bahawa empat juta lelaki dan sejuta wanita mati manakala dua juta lelaki dan 380,000 wanita adalah dari negara yang sedang membangun.

Di Malaysia terdapat 4.6 juta perokok dan lapan peratus daripada angka ini adalah pelajar. Tanggungjawab siapa mengatasi isu ini? Jika guru boleh menjadi teladan dengan berhenti menghisap rokok, saya percaya pelajar akan mengikut jejak langkah guru mereka.

Bilangan perokok di negara maju semakin menurun dan ini hasil dari peningkatan pelajaran yang mereka terima dan cepat sedar tentang bahaya merokok serta lebih mengutamakan kesihatan.

Trend merokok di kalangan pelajar amat membimbangkan. Hanya guru yang dapat memberi kesedaran dan pendidikan kepada pelajar agar berhenti merokok.

ZAINOR RASHID ABDULLAH

Pahang

sumber : utusan

Thursday, May 7, 2009

Kementerian Pelajaran tak manfaat kebolehan, skil guru sarjana, PhD

KEBELAKANGAN ini semakin ramai guru mengambil inisiatif sendiri melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana atau doktor falsafah (PhD) secara separuh masa atau luar kampus.

Kecenderungan golongan guru ini untuk memajukan diri sendiri amat dipuji seiring dengan peranan sekolah sebagai institusi keilmuan. Usaha ini memerlukan pengorbanan bukan sedikit selain menuntut perjuangan dan kesungguhan yang tinggi untuk melaksanakan tugasan di sekolah dan masa bersama keluarga. Tanggungjawab akademik di dewan kuliah memerlukan pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit yang besar.

Namun, amat mengecewakan usaha dan kesungguhan mereka untuk meningkatkan tahap keilmuan mereka ini dipandang sepi oleh pihak Kementerian Pelajaran. Saya melihat kemahiran guru yang mempunyai pendidikan peringkat sarjana dan PhD tidak dimanfaatkan oleh kementerian.

Merekalah yang mengajar di kelas peralihan dan menengah rendah sama rutin dengan guru lain setiap hari. Ini satu kerugian besar kepada modal insan, selain menyebabkan kesarjanaan dan tahap keilmuan mereka akan semakin pudar dan hilang begitu saja.

Untuk mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku, saya mencadangkan beberapa langkah yang dirasakan wajar diambil kementerian bagi faedah bersama:

l Guru sarjana atau PhD mesti menghadiri sekurang-kurangnya tiga seminar akademik dalam setahun yang dianjurkan kementerian atau institusi pengajian tinggi awam atau swasta di dalam atau di luar negara. Input yang diperoleh daripada seminar itu mesti dikongsi dengan guru ketika Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan.

Rasionalnya ialah golongan pendidik ini perlu didedahkan dengan maklumat baru di dalam kajian ilmiah supaya tahap ilmu mereka lebih berkembang dan mereka tidak muflis ilmu.

l Mereka juga perlu menyediakan hasil kajian tindakan di dalam bilik darjah untuk dibentangkan di seminar kajian tindakan pada peringkat daerah atau negeri yang dianjurkan kementerian. Golongan ini mampu menggarap idea dengan lebih berkesan. Kemahiran penyelidikan mereka juga adalah lebih baik berbanding guru lain. Selain itu, ia juga latihan akademik yang baik untuk meningkatkan tahap kemahiran penyelidikan mereka. Mereka perlu dibekalkan dengan peralatan seperti laptop dan lain-lain kemudahan untuk melakukan penyelidikan itu.

l Guru ini dihantar mengajar pada waktu cuti sekolah di Kolej Komuniti, Matrikulasi dan Politeknik melalui program pertukaran kemahiran dengan pensyarah supaya kemahiran pengajaran dan pembelajaran mereka meningkat. Ini juga sebagai persediaan awal jika guru ini dinaikkan pangkat untuk mengajar di institusi pendidikan guru atau IPT.

l Gred gaji atau pangkat mereka perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya satu kenaikan supaya untuk menggalakkan lebih ramai guru melanjutkan pelajaran ke tahap tertinggi. Guru yang melepasi syarat yang dinyatakan itu diberi elaun khas sebagai galakan kepada mereka.

Bagi saya, langkah ini adalah usaha positif yang perlu diambil kementerian untuk memartabatkan profesion perguruan selaras dengan matlamat PIPP 2006-2010.



ABU SYIFA’

Bagan Serai, Perak.
 

© New Blogger Templates | Tech Blog