Wednesday, January 6, 2010

Profesion perguruan diperkemas



Program pembangunan profesional berterusan pertingkat kualiti: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan ada keperluan mendesak untuk meningkatkan kualiti guru dengan pesat menerusi program pembangunan profesional yang berterusan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kualiti guru adalah laluan ke arah pendidikan cemerlang, sekali gus menjadi tulang belakang pencapaian sekolah dan menentukan hasil pelajar, malah kualiti sistem pendidikan tidak boleh melebihi kualiti guru.

Dalam konteks itu, katanya, program pembangunan profesional yang berterusan menyasarkan kepada matlamat mempertingkat kompetensi, ilmu pengetahuan serta kebolehan guru.

"Usaha juga mesti dilakukan bagi menarik lebih ramai berkebolehan untuk memasuki profesion keguruan dengan membangunkan proses pemilihan berkesan tinggi dan menawarkan laluan kerjaya menarik," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Antarabangsa Ke-23 Untuk Penambahbaikan dan Keberkesanan Sekolah (ICSEI) 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Kongres selama empat hari itu bertema 'Empowering Schools for Leaning: From Improvement Policy to Effective Practice' dan dihadiri kira-kira 600 peserta dari dalam dan luar negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan amat komited terhadap usaha meningkatkan kualiti guru dan antara langkah diambil ialah menaikkan taraf semua maktab perguruan kepada institut pendidikan guru yang menawarkan program pada peringkat ijazah.

Di samping itu, beliau berkata, langkah turut diambil untuk meningkatkan tahap kelayakan akademik guru dengan memperkenalkan Program Khas Pensiswazahan untuk pegawai pendidikan bukan siswazah serta mereka yang dalam perkhidmatan.

Katanya, program itu memberi peluang kepada guru bukan siswazah melanjutkan pelajaran melalui pengajian jarak jauh, selaras matlamat kementerian untuk meningkatkan bilangan guru siswazah di sekolah rendah dan menengah.

Malah, beliau berkata, kementerian menggariskan strategi memartabatkan profesion keguruan dengan memperketat syarat pemilihan guru pelatih, menambah baik persekitaran pengajaran, menaikkan imej, menanam harga diri dan semangat tinggi di kalangan guru serta memberi sokongan berterusan kepada mereka.

"Kementerian menyediakan banyak peluang peningkatan kerjaya, termasuk peluang kenaikan pangkat kepada guru dan pengetua cemerlang sebagai insentif untuk terus meningkatkan pencapaian, sekali gus membolehkan pengajaran dan pembelajaran lebih baik," katanya.
sumber: berita harian

Monday, December 14, 2009




Dr. Mujahid Yusuf Rawa (PAS-Parit Buntar) mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif kenaikan gaji kepada guru-guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Phd) sebagai dorongan kepada guru-guru lain untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat pagi tadi memberitahu, kebanyakan guru berkelulusan Sarjana dan Phd yang ditemui menyuarakan kekecewaan kerana tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka di sekolah.

"Saya cadangkan guru-guru yang ada Sarjana dan Phd diberi anjakan gaji oleh kerajaan sebagai dorongan kepada mereka.

"Kalau tidak ada sebarang keistimewaan, bagaimana mereka hendak mendapat dorongan untuk menyambung pengajian," soalnya.

Mujahid turut meminta kerajaan meletakkan satu tangga gaji kepada guru-guru yang mempunyai Sarjana dan Phd di setiap sekolah selain menetapkan bilangan guru yang mempunyai kelulusan berkenaan di setiap sekolah.

Ini katanya sebagai motivasi kepada guru-guru untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat tertingggi.

Sebelum itu Mujahid meminta Menteri Pelajaran Malaysia menyatakan bilangan guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Malaysia.

Beliau juga ingin tahu samaada kerajaan bercadang atau tidak untuk memberi keistimewaan kenaikan pangkat atau anjakan gaji kepada guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Timbalan Menteri, Datuk Dr. Wee Kaa Siong (BN-Ayer Hitam) dalam jawapannya memberitahu, dalam kalangan guru yang mempunyai kelulusan Sarjana dan Phd, pengetahuan, pengalaman dan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan melalui perkongsian ilmu dengan guru-guru lain di sekolah.

Kementerian juga menyediakan peluang atau ruang yang luas kepada pegawai-pegawai ini melalui urusan kenaikan pangkat sebagai Guru Cemerlang an Pensyarah Cemerlang di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Kolej Matrikulasi.

Kementerian juga memberi keutamaan kepada pemegang ijazah Sarjana dan Phd untuk mengisi jawatan sebagai pensyarah di institusi berkenaan.

Sementara itu, Datuk Ismail Mutalib (BN-Maran) berkata, guru-guru ketinggalan dari segi kenaikan pangkat.

Beliau turut meminta agar Kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada guru sama seperti pegawai-pegawai kerajaan yang lain.
sumber: harakahdaily

Tuesday, December 8, 2009

Subjek tambahan SPM diambil kira

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran tambahan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diambil kira dalam penganugerahan Biasiswa Nasional tajaan kerajaan sekiranya ianya termasuk dalam 10 mata pelajaran maksimum yang diambil oleh calon, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.



Bahasa Arab juga termasuk dalam senarai mata pelajaran tambahan selain daripada Bahasa Cina atau Tamil dan Kesusasteraan Cina dan Tamil.

Mata pelajaran tambahan tidak boleh diganti dengan mata pelajaran lain.

“Mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dengan pengiraan mata, bagi tujuan kemasukan ke kursus-kursus Pengajian Bahasa Tamil atau Bahasa Cina atau Bahasa Arab atau kursus-kursus berkaitan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Alimuddin berkata, keputusan kedua-dua mata pelajaran tambahan itu akan dicatatkan pada sijil SPM yang sama dan juga boleh digunakan bagi menyertai latihan penguruan bagi pelantikan guru Bahasa Cina, Bahasa Tamil atau Bahasa Arab.

Jemaah Menteri minggu lepas bersetuju selepas menerima rayuan supaya membenarkan calon SPM mengambil dua lagi mata pelajaran tambahan kepada maksimum 10 mata pelajaran.

Keputusan keseluruhan SPM bagaimanapun dihadkan kepada 10 mata pelajaran utama.

“Dengan formula 10+2 ini, tidak timbul lagi masalah pelajar yang tidak dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil.

“Mereka boleh mengambil mana-mana satu atau dua mata pelajaran tambahan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di atas,” kata Alimuddin.

Kelonggaran itu boleh diguna pakai untuk pelajar semua aliran.

Alimuddin berkata, syarat-syarat lain pengambilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, termasuk syarat mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif sedia ada, juga kekal.

Kata beliau, pelajar aliran agama sains juga boleh mengambil mana-mana 10 mata pelajaran dan satu mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Arab walaupun selepas 2010.

“Kumpulan yang mewakili sekolah agama dalam beberapa pertemuan dengan Kementerian Pelajaran telah menyatakan 11 mata pelajaran telah mencukupi, kata Alimuddin. - Bernama

Thursday, November 12, 2009

dilema guru berjauhan dengan keluarga

bismillahi arrahman arrahim....

jika membaca tajuk ini, sudah pasti ramai di kalangan guru atau pasangannya merupakan seorang guru, tersenyum pahit seakan-seakan tidak mahu senyum pun ada. Hari ini saya terbaca berita harian dalam ruangan surat pembaca mencoretkan dilema suami yang berjauhan dengan isterinya yang merupakan seorang guru, hanya mereka yang melalui pengalaman ini sahaja yang mengerti dilema yang di hadapi oleh si suami ini.

kepada mereka yang menghadapi dilema ini, bersabarlah, InsyaAllah ada pelbagai hikmah yang tersirat di sebaliknya yang tidak kita ketahui dan akan diketahui di kemudian hari. kepada mereka yang tidak menghadapi dilema ini, bersyukurlah.

Jika kita menggunakan 'kabel' untuk menjauhi dilema ini, fikir-fikirkanlah nasib rakan-rakan kita yang sebenarnya lebih berhak mendapat kesenangan itu berbanding kita.
Dan adakah kita dapat mengajar dan mendidik dengan sempurna jika menggukan hak orang lain demi kesenangan kita. Salahkanlah diri kita andainya anak didik kita menjadi bukan seperti yang kita kehendaki kerana ia sebenarnya bermula dari kita. fikir-fikirkanlah.............
 

© New Blogger Templates | Tech Blog